Zaman Sekarang Rumah Orang Tua Menjadi Pilihan

Seorang ibu mampu membesarkan 10 orang anak namun 10 anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu. Itulah antara ungkapan yang biasa kita dengar bila memperkatakan tindakan anak-anak menghantar ibu-bapa ke rumah orang tua.

Namun jika dilihat dari perspektif yang berbeza, tanggapan itu semakin kurang re­levan ke­rana semakin ramai warga emas memilih untuk tinggal di pusat penjagaan berbanding tinggal bersendirian di rumah ketika anak-anak keluar bekerja.

Bahkan ramai dalam kalangan warga emas mengakui tindakan itu tidak semestinya bermaksud mereka disingkirkan oleh ahli keluarga kerana faktor usia sebaliknya demi untuk mendapatkan kehidupan yang lebih selesa.

Tinjauan Utusan Malaysia di pusat jagaan warga emas di sekitar ibu kota baru-baru ini mendapati kebanyakan penghuni berasa seronok berada di situ ke­rana dapat menghabiskan masa berkawan dan berinteraksi dengan penghuni lain selain layanan daripada jururawat atau para sukarelawan yang bertugas.

Walaupun ada yang meng­anggap mereka seperti ‘dipenjarakan’ oleh anak-anak, keputusan untuk tinggal di pusat jagaan itu membolehkan mereka menerima perhatian yang rapi terutama bila membabitkan soal kesihatan.

Bagi mereka, layanan seperti ini tidak dapat diberikan oleh anak-anak yang sentiasa sibuk bekerja mencari rezeki untuk menampung keluarga.

Sebahagian daripada mereka adalah warga emas yang mempunyai penyakit jantung, lumpuh dan kemurungan yang memerlukan pengambilan ubat secara teratur sekali gus membuatkan keputusan untuk tinggal di pusat penjagaan adalah perkara wajar.

Namun di sebalik keputusan ‘mudah’ menghantar golongan itu ke pusat jagaan warga emas, anak-anak perlu sedar bahawa penginapan mereka di situ memerlukan perbelanjaan yang cukup ter­utama apabila melibatkan rawatan kesihatan di hospital.

Dalam kebanyakan kes, ramai yang terpaksa menangguhkan rawatan kesihatan kerana tidak mempunyai wang simpanan atau pihak keluarga gagal menanggung kos yang diperlukan.

Sumber: Utusan Online

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *