Warden Dipenjara 133 Tahun, Liwat Lima Pelajar Tahfiz

KANGAR – Seorang warden sebuah maahad tahfiz di Simpang Empat di sini dijatuhi hukuman penjara selama 133 tahun selepas mengaku bersalah atas 26 pertuduhan liwat dan jenayah seksual terhadap lima pelajar tahfiz, bulan lalu.

Tertuduh, Nawawi Anuar, 28, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Nawawi yang berasal dari Bandar Baharu, Kedah turut dikenakan sebanyak 42 kali sebatan.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut ke atas mangsa yang berusia sembilan, 10, 11 dan 15 tahun di Maahad Tahfiz Al-Quran Ar-Raudhah, Simpang Empat di sini sepanjang April lalu.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan iaitu liwat dan memaparkan video lucah melalui telefon bimbit kepada mangsa berusia 11 tahun.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan (KK), 377C KK serta Seksyen 15(e) dan 16(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 selain Seksyen 5(1)(a) Akta Penapisan Filem 2002.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norshuhada Mohd. Yatim, Mohd. Izham Ali dan Mohd. Farhan Aliff Ahmad sementara tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan iaitu Mohd. Hapiz Rajali dan Nor Herdawati Harun.

Mahkamah menetapkan 9 Julai depan untuk serahan dokumen bagi tiga lagi pertuduhan yang minta dibicarakan.

Sumber: Kosmo Online