Wanita Sarat Mengandung, 2 Warga Nigeria Didakwa

IPOH: Seorang wanita tempatan sarat mengandung dan seorang lelaki warga Nigeria dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan menipu wang seorang wanita sebanyak RM8,500, awal bulan ini.

Peniaga, Adzatul Natasyah Adnan, dan pelajar kolej, Egbule Ewere, masing-masing berusia 25 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah serta meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab.

Mereka didakwa secara bersama menipu serta memperdaya Nur Hidayah Abdullah, 29, untuk mempercayai tertuduh sudah menghantar hadiah bungkusan dan mangsa perlu membayar sejumlah wang cukai bagi melepaskan bungkusan ditahan pihak kastam yang sebenarnya tidak wujud.

Penipuan itu didakwa dilakukan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Perempuan Perak, di sini, pada jam 3.30 petang 4 Januari lalu sehingga mendorong mangsa memasukkan wang sebanyak RM8,500 kepada tertuduh melalui akaun bank bawah nama Woon Lee Foong.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara antara satu hingga 10 tahun dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Irna Julieza Maaras, manakala Adzatul Natasyah dan Ewere diwakili peguam, G Harbhajan Singh.

Nur Melati Diana membenarkan Adzatul Natasyah diikat jamin RM5,000 bersama seorang penjamin dan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sekali sebulan, manakala Ewere tidak ditawarkan sebarang jaminan.

Dalam pada itu, Ewere dan seorang lagi warga Nigeria, Okafor Stephen, 24, yang bekerja sebagai pembantu restoran di Kuala Lumpur, didakwa di mahkamah sama atas pertuduhan tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas lawatan yang sah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada jam 12.08 tengah hari 11 Januari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 (Pindaan 2002) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6(3) akta sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda hingga RM10,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya dan maksimum enam sebatan.

Nur Melati Diana tidak membenarkan jaminan terhadap Ewere dan Stephen, serta menetapkan 8 Februari depan untuk sebutan semula kes semua tertuduh. – BH Online