“Wanita Itu Terus Bangun, Ayah Lie Terus Tarik Zip Seluarnya Ke Atas..” – Kantoi Berkhalwat Dengan Pelajar, Pendakwah Bebas 53 Tahun Didenda RM2,500

Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu hari ini menjatuhkan hukuman denda RM2,500 terhadap seorang pendakwah bebas yang dikenali sebagai ‘Ayah Lie’ kerana berkhalwat dengan pelajarnya berusia 28 tahun di dalam kereta di Taman Pulau Warisan.

Jika gagal menjelaskan denda tersebut, Ayah Lie, 53, akan berdepan dengan hukuman penjara selama tiga minggu.

Mahkamah menjatuhkan hukuman itu selepas pendakwah yang berstatus duda itu mengaku bersalah kerana berkhalwat dengan pelajarnya di dalam sebuah kereta di kawasan parkir Tambakan Taman Pulau Warisan, kira-kira jam 11.15 malam, 28 Oktober 2018.

Wanita yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu juga mengaku bersalah di atas pertuduhan sama dikenakan denda RM2,000 dan jika gagal melunaskan denda itu, dia bakal berdepan dengan hukuman penjara dua minggu.

Semasa ditahan oleh anggota penguatkuasa, wanita terbabit berada di tempat pemandu dalam keadaan berbaring di atas paha Ayah Lie yang ketika itu berada di tempat duduk penumpang hadapan.

Terkejut melihat kehadiran anggota penguatkuasa, wanita itu terus bangun, manakala Ayah Lie terus menarik zip seluarnya ke atas.

Pasangan terbabit mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat dan mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie, Mohd Azlan Md Noor dihadapan Hakim Syarie Mohd Fakhruddin Yusof.

Terdahulu, dalam penghakimannya, Mohd Fakhruddin meluahkan rasa kesalnya dengan perbuatan dilakukan tertuduh kerana dia merupakan seorang ulamak, yang mengajar kitab-kitab turath.

“Sepatutnya kamu lebih tahu tentang halal dan haram serta dosa dan pahala kerana kamu seorang yang disegani masyarakat dan antara tenaga pengajar agama tersohor di tempat kamu.

“Tetapi amat menyedihkan, kamu sanggup mengambil kesempatan ke atas pelajar sendiri yang ingin menuntut ilmu agama difahamkan disediakan secara percuma oleh kamu kononnya ingin menarik minat pemuda-pemudi di tempat kamu untuk belajar agama,” katanya.

Sumber: Sinar Harian via The Reporter