Walaupun “Kebaratan”, Majlis Tari Menari Tradisi Bidang Guaman..

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Mohamed Hanipa Maidin berkata majlis jamuan dan tari menari sebenarnya sebahagian daripada tradisi guaman, walaupun mengakui ia kelihatan “sedikit kebaratan”.

“Para peguam ini amat kaya dengan pelbagai tradisi yang mungkin kelihatan agak unik dan hanya ada dalam profesion itu sahaja…  Program makan malam dan tari menari yang dipanaskan tak tentu fasal itu hakikatnya sebahagian tradisi (bidang guaman). Ya saya akui kadang kala ia kelihatan ‘sangat Inggeris’.

“Ia mungkin kelihatan sedikit kebaratan dan dilihat oleh ‘pihak-pihak suci’ tidak patuh syariah. Tetapi menyokong dan memberi nyawa dan oksigen suatu masa dulu kepada regim kleptokratik juga bukanlah Islamik atau patuh syariah sangat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas rakaman memaparkan Ketua Hakim Negara Richard Malanjum, Peguam Negara Tommy Thomas dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong menari bersama dalam satu acara, yang tersebar semalam dan mendapat perhatian ramai pengguna media sosial.

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan perkara itu sebagai perkara yang memalukan institusi kehakiman

Beliau berkata institusi kehakiman dan perundangan sejak dulu sangat sensitif dengan pergaulan sosial kerana ia melibatkan keyakinan masyarakat terhadap mereka.

Video itu juga dikritik beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH), antaranya Anggota Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad yang membangkitkan kritikan terhadap bekas peguam negara Apandi Ali yang dahulu turut dikritik kerana menari bersama pemimpin BN, serta peguam Haniff Khatri Abdulla yang berpandangan ia boleh menimbulkan “persepsi negatif”.

Hanipa yang juga seorang peguam kemudian mengulas lanjut tentang tradisi bidang guaman antaranya jamuan yang diadakan selepas peguam pelatih menamatkan tempoh amali (chambering).

“Kami akan buat kunjungan ke kamar hakim. Selepas diterima sebagai peguam, kami biasanya akan adakan jamuan yang melibatkan para peguam dan pihak kehakiman. Ia sudah jadi tradisi. Semasa chambering peguam pelatih digalakkan membuat kunjungan hormat kepada peguam senior.

“Di mahkamah, kami akan memanggil rakan peguam sebagai ‘rakan yang bijaksana’ meskipun kami berlawan sakan.

“Bila peguam bangun berhujah, peguam lawan tidak boleh bangun pada masa sama – ia dianggap amat biadab. Kena duduk dan hormat. Ia dipanggil dekorum kehakiman. Ia juga sebahagian daripada tradisi kami yang kaya,” katanya lagi.

Sumber: Malaysiakini