Usikan Meter Lama Antara Punca Peningkatan Bacaan Data

MELAKA TENGAH – Usikan atau ubah suai pada meter lama, menjadi antara faktor yang menyebabkan berlaku peningkatan bacaan data penggunaan elektrik di negeri ini, selepas pemasangan meter pintar di negeri ini.

Pengurus Kanan (Pelan Komunikasi dan Perhubungan) Projek Smart Billing, Bahagian Pembahagian Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datin Siti Laila Sri Asih S Garieb berkata, justeru, pemasangan meter pintar yang JUGA alat mengukur data penggunaan elektrik di kediaman atau pun premis secara lebih tepat, menimbulkan keraguan dalam kalangan pengguna, apabila didakwa menyebabkan bil melambung.

Menurutnya, faktor cuaca dan anggaran bil berikutan sistem baharu yang memerlukan masa bagi menstabilkan rangkaian komunikasi, turut menjadi pendorong kepada kenaikan data kepada akaun pengguna.

“Kita juga tidak menafikan bahawa terdapat pengguna yang menggunakan alat penjimatan elektrik dari China, setelah diuji alat tersebut tidak memberi kesan positif sebaliknya meningkatkan lagi kadar penggunaan.

“Bagaimanapun, kita hanya mampu menasihatkan pengguna agar tidak menggunakan produk yang tidak mempunyai logo SIRIM, namun kuasa membeli adalah hak pengguna,” katanya kepada media pada Hari Bersama Pelanggan di Pejabat TNB Jalan Banda Kaba di sini hari ini.

Siti Laila Sri Asih berkata, meter pintar memberikan maklumat mengenai jumlah penggunaan elektrik malah membolehkan para pengguna merancang dan mengubah tabiat penggunaan elektrik mengikut keperluan masing-masing berdasarkan piawaian ditetapkan tanpa sebarang kenaikan tarif.

Program yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini dari jam 8.30 pagi hingga 4 petang itu adalah platform kepada orang ramai menyalurkan aduan dan pandangan berhubung isu meter pintar yang didakwa sering mengalami gangguan dan mengakibatkan bil melambung seperti yang tular di laman sosial.

Sementara itu, seorang peniaga Khor Yew Tuck, 63, berkata beliau tidak melepaskan peluang hadir ke program itu bagi mendapatkan penjelasan daripada TNB selepas mengesan kenaikan bil kediamannya kira-kira dua kali ganda selepas pemasangan meter pintar tersebut.

“Saya sudah menetap hampir 20 tahun, tak pernah cecah RM200 namun selepas pelaksanaan meter ini terlampau banyak peningkatan. Oleh itu, kita berharap pihak berkaitan dapat melakukan pemeriksaan,” katanya.

Seorang lagi pengguna Taib Meon, 49, pekerja swasta menyuarakan pendapat berbeza apabila berpuas hati dengan sistem berkenaan yang dikatakan mampu memberi lebih penjimatan kepada mereka sekeluarga.

“Selepas tiga bulan, bacaan bil menunjukkan pengurangan berikutan saya dapat memantau penggunaan menerusi aplikasi MYTNB dengan menggunakan telefon pintar tidak kira walau di mana saya berada. Kini bil elektrik kediaman saya kurang daripada RM50 berbanding sebelum ini yang pernah mencecah sehingga RM60.

“Melalui paparan makluman semasa mengenai penggunaan elektrik, kita dapat mengetahui berbanding dengan sekali sebulan melalui bil-bil dihantar,” katanya. – Bernama