Tragedi Tembakan Di Masjid Christchurch, Senator Queensland Dakwa Insiden Berpunca Dari Penghijrahan Umat Islam

PUTRAJAYA 15 Mac – Susulan insiden tembakan di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand hari ini, satu kenyataan akhbar didakwa dikeluarkan oleh Senator Queensland, Fraser Anning telah tular di media sosial.

Meskipun mengutuk tindakan mereka yang melakukan keganasan terbabit, beliau bagaimanapun menurut kenyataan itu, beliau seolah-olah cuba menuding jari kepada umat Islam.

Kenyataan Anning itu antara lain menuduh insiden pembunuhan beramai-ramai itu berpunca daripada program penghijrahan yang membolehkan golongan fanatik Islam berpindah ke New Zealand.

Beliau mendakwa, Islam secara keseluruhannya adalah sebuah agama ‘beridelogikan keganasan yang berlindung di sebalik seorang pemimpin agama, yang mana menjustifikasikan peperangan tanpa henti terhadap sesiapa yang menentangnya dan menyeru pembunuhan mereka yang tidak percaya serta murtad’.

“Sementara umat Islam menjadi mangsa hari ini, mereka selalunya adalah pelakunya. Di seluruh dunia, orang Islam membunuh atas nama kepercayaan mereka pada skala yang besar,” katanya seperti tertulis pada kenyataan berkenaan.

Anning menambah, hakikatnya, Islam tidak seperti agama lain, tetapi sebagai sebuah agama yang bersamaan dengan fasisme.

Walaupun mangsanya hari ini bukan umat Islam, katanya, ia tidak menjadikan mereka tidak bersalah.

Pada pukul 1.40 petang waktu tempatan hari ini, dilaporkan berlaku insiden tembakan di Masjid Al-Noor dekat Hagley Park dan Masjid Linwood di Christchurch, New Zealand yang mengorbankan 40 nyawa.

Insiden itu turut dilaporkan menyebabkan 20 orang cedera.

Sumber: Utusan Online