Tragedi Solat Jumaat: ‘Innalillah.. Ini Insiden Paling Buruk Saya Pernah Lihat’ – Khabib

DUNIA hari ini digemparkan dengan insiden tembakan rambang di dua masjid di Christchurch, New Zealand yang mengorbankan 49 nyawa.

Selain mencederakan 48 yang lain, seorang rakyat Malaysia juga disahkan menjadi mangsa kejadian terbabit.

Jutaan penduduk dunia mengecam tindakan kejam serta tidak berperikemanusiaan penembak berkenaan.

Ia turut mendapat reaksi dari beberapa individu terkenal, antaranya ialah bintang UFC, Khabib Nurmagomedov yang amat terkesan secara emosi dengan insiden tersebut.

Dalam posting terbaharu di akaun Twitter dan Instagramnya, jaguh MMA Rusia itu meluahkan rasa sedih dan kesal dengan tragedi yang menimpa umat Islam di bandar itu.

“Innalillahiwainnailaihirojiun. Ini antara video insiden yang paling buruk saya pernah lihat. Allah lebih mengetahui dari kita, kesabaran untuk semua,” tulisnya.

Posting tersebut disertakan gambar seorang mangsa kejadian yang dilihat sedang membuat isyarat jari telunjuk yang bererti ‘Allah Yang Maha Esa’.

Dalam kejadian pada Jumaat itu, seorang saksi berkata, dia melihat seorang lelaki memasuki Masjid Al Noor di tengah Christchurch kira-kira pukul 1.45 tengah hari waktu tempatan dan mendengar puluhan das tembakan dilepaskan selepas itu.

Sejurus itu, orang ramai dilihat bertemparan lari keluar dari masjid dalam keadaan ketakutan.

Lelaki bersenjata itu berkulit putih dan memakai topi keledar yang mempunyai alat di atas kepala, seakan-akan seperti anggota militari.

Menurut laporan, kejadian tembakan kedua pula berlaku di satu lagi masjid di bandar raya itu, iaitu di Masjid Linwood.

Selain Khabib, beberapa lagi selebriti turut memberi reaksi di media sosial seperti penyanyi John Legend, Yusuf Islam, aktres Melissa Joan Hart, Alyssa Milano, pelakon veteran George Takai, Mark Ruffalo, atlet WWE Mustafa Ali, CEO Apple Tim Cook dan ramai lagi.

Sumber: Astro Awani