“Tolong Hormat, Sekurang-kurangnya Minta Kebenaran!” – Ruhainies Berang Wajah Kekasih Tersebar

PELAKON Ruhainies berang apabila sekeping foto mendedahkan wajah kekasihnya yang dikenali sebagai Elf Johan disebarkan oleh individu tidak bertanggungjawab di laman sosial, baru-baru ini.

Ruhainies atau nama sebenar Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas berkata tindakan yang dilakukan individu itu salah dan melanggar hak privasi orang lain.

“Saya tak faham kenapa ada orang tak boleh nak hormat privasi orang lain, semua tahu saya tak pernah post dia (kekasih) di media sosial.

“Tolong ada sedikit hormat, sekurang-kurangnya minta kebenaran,” katanya di laman Instagram.

Ruhainies berang wajah kekasih disebarkan individu tidak bertanggungjawab.

Pada Rabu, sebuah portal hiburan memuat naik artikel dan foto memaparkan wajah kekasihnya yang juga merupakan seorang ahli perniagaan.

Foto tersebut dirakam secara ‘curi-curi’ ketika pasangan itu berada di sebuah majlis.

Dalam pada itu, Ruhainies turut memuji tindakan peminat dan wartawan yang menghormati permintaan untuk tidak mendedahkan identiti bakal suaminya itu.

Malah, segelintir peminat mengambil inisiatif memotong (crop) gambar kekasihnya itu sebelum memuat naik di media sosial.

Ruhainies dan Mr. E menjalinkan hubungan serius.

“Orang awam atau peminat pun hormat, kalau nampak saya di luar atau nak bergambar mereka akan crop gambar dia.

“Wartawan yang pernah jumpa dia pun tak pernah post atau masuk dalam surat khabar,” ujarnya.

Menerusi laporan mStar pada Mei lalu, Ruhainies memberitahu dia belum bersedia untuk berkongsi wajah mahupun nama sebenar kekasihnya itu.

Ruhainies bimbang kehidupan sebagai seorang selebriti yang sering menjadi perhatian ramai akan membuatkan kekasihnya itu berasa tidak selesa.

Sumber: Mstar Online