TNB Jangan Tambah Beban Pengguna

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) perlu mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) untuk merekod bacaan meter dengan melakukan siasatan dalaman bagi menilai semula kemungkinan berlaku kesilapan hingga membebankan pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Patriot Negara, Mohd. Al Iman Zakaria berkata, jawapan TNB bagi menjelaskan mengenai kenaikan mendadak bil yang diterima kebanyakan pengguna adalah tidak meyakinkan dan tidak munasabah.

Katanya, siasatan dalaman perlu dilakukan bagi mencari jalan keluar dan menenangkan rakyat yang terbeban dengan kenaikan itu.

“Indeks prestasi pencapaian pengurusan (KPI) TNB adalah berdasarkan keuntungan manakala KPI kerajaan pula adalah melindungi kebajikan menangani kos sara hidup. Yayasan berharap pihak berkenaan tidak terperangkap di antara kebajikan dan keuntungan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambahnya, TNB memperoleh keuntungan RM3.75 bilion pada tahun lalu dengan menggunakan kaedah lama dan seharusnya memberikan tempoh bertenang kepada pengguna dengan memberi diskaun dan bukannya kaedah pembacaan meter yang membebankan.

Menurut Mohd. Al Iman, pihaknya percaya isu itu mempunyai jalan penyelesaian jika pihak berkuasa menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing dengan amanah.

Sumber: kosmo online