Tindakan Kerajaan Pulau Pinang Wajar Dipuji – Guan Eng

GEORGETOWN: Tindakan pantas kerajaan Pulau Pinang membantu ibu dan abang kepada mangsa tembakan rambang di dua masjid di Christchurch, New Zealand semalam wajar diberi pujian.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata keputusan kerajaan negeri membenarkan EXCO kerajaan negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengiringi keluarga mangsa, Rahimi Ahmad, 39, mempamerkan keprihatinan pentadbiran Pulau Pinang terhadap nasib keluarga mangsa.

“EXCO Kebajikan, Alam Sekitar dan Masyarakat Penyayang negeri, Phee Boon Poh dan keluarganya pernah menetap di New Zealand untuk jangka yang lama dan mempunyai ramai kenalan terdiri daripada pemimpin kerajaan tempatan di Christchurch.

“Bon Poh dan ADUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz bukan sahaja akan mewakili kerajaan negeri dalam menjaga kepentingan rakyat Pulau Pinang yang tercedera dalam serangan dahsyat terbabit, tetapi juga untuk dua rakyat Malaysia lain yang turut tercedera.

“Mereka (Boon Poh dan Azrul Mahathir) sudah menghubungi Wisma Putra untuk mengatur keperluan logistik untuk memastikan kerajaan Malaysia bertindak sebagai negara dalam menghulurkan bantuan, simpati dan solidariti terhadap tiga mangsa terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ibu Rahimi, Rokiah Mohammad, 65, dan abangnya, Roshidi, 42, bersama Boon Poh serta Azrul Mahathir akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) ke New Zealand menaiki penerbangan Singapore Airlines, jam 3.30 petang ini.

Insiden serangan di dua masjid di Christchurch, New Zealand itu mengorbankan 49 individu serta mencederakan puluhan yang lain, termasuk tiga rakyat Malaysia.

Selain Rahimi, juruteknik kilang susu, berasal dari Kampung Binjai, Bayan Lepas, dua lagi rakyat Malaysia membabitkan Mohd Nazri Hisham Omar, 46, dari Selangor dan Mohd Tarmizi Shuib, 42, dari Alor Setar, Kedah.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, DAP mengulangi kecaman terhadap aksi keganasan melampaui, selain berharap mangsa yang tercedera dalam kejadian itu akan pulih sepenuhnya.

“Pembunuhan rambang dilakukan seorang pengganas berkulit putih terhadap orang Islam tidak bersalah sewaktu menunaikan solat di dalam sebuah rumah ibadat di New Zealand yang dikenali sebagai negara aman dan selamat, sangat-sangatlah keji.

“Pada saat tragedi penuh kebencian seperti ini, semua negara dan bangsa harus berdiri berdampingan demi keamanan, hormat untuk kebebasan dan kepelbagaian beragama, toleransi, keharmonian, dan belas kasihan.

“Tamadun manusia terbina bukannya melalui kebencian tetapi melalui kasih sayang antara satu sama lain,” katanya.

Sumber: BH Online