Tindakan Bijak Seekor Anjing Akhirnya Selamatkan Seorang Bayi Baharu Lahir Yang Ditanam Hidup-hidup Oleh Ibunya Sendiri

Dunia ini memang banyak kejutannya. Ada sahaja kejadian yang pelik dan tidak masuk akal berlaku setiap hari sehingga membuatkan kita pening kepala memikirkan apa yang sedang berlaku, mengapa semua itu berlaku dan bilakah semua kejadian itu akan berhenti.

Baru-baru ini sebuah lagi peristiwa menyayat hati di mana seorang bayi yang baru lahir telah ditanam hidup-hidup di dalam tanah oleh ibunya sendiri. Kejadian itu dilaporkan telah berlaku di utara Thailand. Namun, si kecil itu nampaknya masih bernasib baik kerana telah diselamatkan oleh seekor anjing.

Bayi itu dikatakan ditanam hidup-hidup oleh ibunya sendiri yang berusia 15 tahun. Oleh kerana mahu menyembunyikan kandungan dan anak yang dilahirkan daripada pengetahuan ibu bapanya, remaja itu memutuskan untuk menanam bayinya sendiri di dalam tanah.

Walau bagaimanapun, bayi itu masih terselamat apabila seekor anjing yang bernama Ping Pong, telah menggali semula tanah di kampung Ban Nong Kham. Ping Pong kemudian mengeluarkan bunyi sehingga tuannya datang dan melihat ada kaki bayi di dalam tanah tersebut.

Melihat kejadian itu, penduduk tempatan segera membawa bayi itu ke hospital dan selepas si kecil itu dibersihkan dan dirawat doktor di sana mengesahkan bahawa bayi itu dalam keadaan sihat dan baik-baik sahaja.

Tuan Ping Pong, Usa Nisaikha, 41 memberitahu bahawa anjingnya itu telah kehilangan salah satu kaki setelah dilanggar oleh sebuah kereta. Namun begitu, Usa tetap menjaga anjingnya dengan baik kerana Ping Pong adalah seekor anjing yang taat dan selalu membantunya di ladang. Ping Pong juga disayangi oleh seluruh penduduk kampung.

Sementara itu, ibu muda yang menanam bayinya pula telah didakwa atas tuduhan pengabaian anak dan cubaan untuk membunuh.

Panuwat Puttakam, seorang pegawai di balai polis Chum Phuang, memberitahu Bangkok Post bahawa remaja perempuan itu kini dijaga oleh ibu bapanya dan dirawat oleh ahli psikologi.

Remaja itu berkata bahawa dia menyesal dengan atas tindakan yang dilakukannya. Bayinya kini dibesarkan oleh ibu bapanya.

Memang tidak dapat dinafikan, pada hari ini walaupun manusia yang mempunyai akal namun sanggup melakukan jenayah seperti itu manakala haiwan yang tidak mempunyai akal pula yang berbuat kebaikan.

Sumber: Era Baru