Tiga Beranak Termasuk Bayi Terselamat Dirempuh Treler

KLANG – Tiga beranak termasuk seorang bayi lelaki berusia 10 bulan terselamat meskipun tercampak di jalan raya selepas motosikal dinaiki dilanggar dari belakang sebuah treler di Jalan Parang, Pelabuhan Klang di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 10.30 pagi, Muhammad Suffean Hashim Shamlan, 24, cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

Sementara isterinya, Wan Emilia Eliyshah Wan Mohd. Zulkarnain, 24, dan anak mereka, Muhammad Dhuha, 10 bulan yang cedera di muka dan kepala masih dirawat di HTAR.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kemalangan berlaku ketika tiga beranak menaiki motosikal jenis Yamaha LC 135 dan treler itu menuju ke Pelabuhan Barat dari Pelabuhan Utara.

Katanya, setiba di lokasi kejadian dipercayai treler dipandu lelaki berusia 41 tahun itu ingin menukar lorong ke sebelah kira dari kanan.

“Bagaimanapun, tindakan pemandu lori menyebabkannya melanggar belakang motosikal dinaiki tiga beranak sebelum mereka tercampak di jalan raya.

“Susulan itu, ketiga-tiga beranak berkenaan yang cedera di bahagian tangan, kaki, kepala dikejarkan ke HTAR untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini.

Shamsul Amar menjelaskan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Sumber: Kosmo Online