Tiga Beradik Buta Hilang Tempat Tinggal Angkara Khianat, Rumah Dibakar..

ARAU – Tiga beradik warga emas yang cacat penglihatan tinggal sehelai sepinggang apabila rumah pusaka berusia lebih 100 tahun yang didiami mereka di Kampung Titi Besi di sini musnah dibakar anak saudara sendiri.

Dalam kejadian 4 petang semalam, Halijah Ibrahim, 78, Che Manai, 73, dan Zainah, 67, kerugian lebih RM10,000 apabila wang tunai, barangan kemas, geran tanah dan baju raya mereka musnah dalam kebakaran yang berpunca daripada tindakan anak saudara mereka yang berang selepas gagal meminta wang daripada ibu saudaranya.

“Dia (suspek) minta duit kat saya RM50. Saya kata mana ada duit banyak itu lalu dia mengamuk dan tinggalkan rumah dalam keadaan marah. Saya tak layan sebab tahu dia gunakan duit tu untuk beli gam (hidu gam).

“Baju raya saya dah siap diseterika dan disimpan dalam almari tapi nasib tidak menyebelahi saya nak pakai,” kata Che Manai yang menambah anak saudaranya utu dijaga sejak berumur 10 tahun.

Kisah tiga beradik itu mendapat perhatian Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, yang menziarahi mereka bersama anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim, hari ini.

Mereka yang tinggal sehelai sepinggang kini menumpang sementara di bengkel kraftangan mereka bersebelahan tapak rumah yang terbakar sama sekali.

Bercakap kepada pemberita selepas kunjungan itu, Azlan berkata, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi membina semula rumah itu untuk tiga beradik itu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohamad berkata, polis telah menahan anak saudara tiga beradik itu yang mengaku membakar rumah berkenaan dan kini direman empat hari mulai hari ini. – Bernama