Tiada Lagi Undi Untuk PH Pada PRU15, Kata Generasi

SHAH ALAM – Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (Generasi) menegaskan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) bahawa peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) tidak akan mengundi PH pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekiranya kerajaan gagal menangani isu yang melanda Felda ketika ini.

Presidennya, Roslan Md Esa berkata, apa yang dilakukan oleh kerajaan PH pada hari ini telah meletakkan peneroka Felda dalam keadaan tiada pilihan melainkan terpaksa bergantung kepada anak-anak serta sanak saudara bagi membantu meringankan kos sara hidup serta belanja persiapan hari raya.

“Generasi serta peneroka-peneroka Felda yang lain masih menunggu janji manifesto kerajaan PH di mana hutang peneroka dihapuskan, penyata hutang mereka dapat dilihat dengan jelas, dan harga komoditi sawit lebih baik. Namun apa yang berlaku ialah sebaliknya.

“Saya yakin dan percaya jika kerajaan gagal menangani isu ini maka tiada lagi undi bagi PH dalam PRU15 akan datang khususnya dari warga Felda melainkan hanya mereka yang ada kepentingan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, Roslan berkata, pihaknya juga kecewa apabila kerajaan mengumumkan tiada pemberian duit raya buat masa ini kepada peneroka Felda.

“Generasi sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ahli gabungan dalam Gerakan Pembela Ummah (Ummah) serta kebanyakan peneroka Felda pada hari ini menzahirkan rasa kecewa dengan pengumuman kerajaan yang tidak berhasrat memberikan ‘duit raya’ kepada peneroka dengan alasan kedudukan kewangan negara kurang memberangsangkan.

“Pengumuman yang dibuat oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengundang seribu satu perasaan resah buat 112,635 peneroka yang sering mendapat manfaat dari kerajaan sebelum ini,” katanya.

Sumber: Sinar Harian