Tembakan Bermula Sebaik Imam Baca Khutbah – Saksi Rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR 15 Mac – Seorang rakyat Malaysia yang menjadi saksi kejadian tembakan di Masjid Al-Noor di Christchurch menceritakan pengganas mula melepaskan tembakan sebaik sahaja Imam Ghamal Al Banna mahu memulakan khutbah Jumaat.

Noor Hamzah yang berasal dari Tanjong Karang, Selangor menceritakan insiden keganasan itu berlaku kira-kira pukul 1.30 petang dan jemaah mendengar bunyi tembakan kuat dilepaskan di hadapan masjid.

“Saya terus berlari keluar melalui pintu yang berada di sisi tepi dan terus berlari ke perkarangan masjid. Kemudian saya menyembunyikan diri di belakang sebuah kereta.

“Tembakan berterusan kira-kira 20 minit. Selepas itu pasukan keselamatan datang dan mengawasi kawasan sekitar. Kami diminta berbaring di atas tanah,” cerita Noor Hamzah.

Dalam satu catatan di Facebook, Noor Hamzah memberitahu dia nampak dua lelaki cedera ditembak di sekitar tempat dia bersembunyi.

Polis kemudiannya membawa mereka ke hadapan masjid sejurus pasukan perubatan sampai.

“Ketika saya berjalan bersama empat lelaki lain, saya melihat dua mayat terlantar salah satu daripadanya adalah Sheikh Musa.

“Kemudian saya meninjau ke dalam masjid dan nampak timbunan mayat di ruang utama sembahyang.

“Di hadapan masjid pula terdapat lima mayat bergelimpangan. Dua lagi mayat terbaring kaku di atas jalan di hadapan masjid,” tulis Noor Hamzah.

Menurutnya, pihak polis kemudian mengambil butiran peribadi mereka dan membawa kami ke Hagley Park yang terletak di hadapan masjid. Dari situ, polis kemudian membawa mereka ke hospital.

Sumber: Utusan Online