Syed Saddiq Sokong Zakir Naik Dihantar Pulang Ke India

PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyokong gesaan untuk Dr Zakir Naik dihantar pulang ke India, manakala anak perdana menteri, Marina Mahathir tampil membidas pendakwah kontroversi itu kerana mempersoalkan kesetiaan penganut Hindu di Malaysia serta menggelar kaum Cina sebagai “tetamu”.

Syed Saddiq yang juga ketua Pemuda PPBM ialah menteri PPBM pertama yang tampil menyokong gesaan 2 menteri DAP untuk kerajaan menghantar Naik pulang ke India.

Katanya, serangan Naik terhadap orang Cina dan India di negara ini adalah serangan terhadap semua rakyat Malaysia.

“Ia mengarut untuk memikirkan rakyat Malaysia yang lain adalah ‘tetamu’. Mereka adalah keluarga saya. Cukup-cukuplah,” katanya dalam kumpulan WhatsApp kementeriannya hari ini.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, beliau kenal ramai orang Cina dan India yang sanggup mati mempertahankan Malaysia.

“Orang Cina Malaysia bukan tetamu, tetapi warganegara Malaysia yang cintakan negara bertuah ini.

“Kekuatan Malaysia adalah kesatuan rakyatnya. Cukuplah perlekehkan kesatuan dan kesetiaan kita,” tulisnya di Twitter.

Aktivis, Marina menerusi Twitternya berkata: “Agak ramai ahli keluarga saya (jika perlu dihantar pulang)…siapa anda untuk beritahu kami demikian?”

Naik yang dikehendaki pihak berkuasa India berhubung dakwaan pengubahan wang di negaranya, baru-baru ini mencetuskan kontroversi dengan mendakwa penganut Hindu di Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi berbanding Dr Mahathir Mohamad walaupun menerima “100 kali” hak berbanding umat Islam di India.

“Anda tahu ada orang gelar saya tetamu. Jadi saya kata, sebelum saya, Orang Cina ialah tetamu. Jika anda mahu tetamu baru pulang, suruh tetamu lama pulang,” katanya dipetik Malaysiakini dalam satu ceramah pada Khamis lalu.

Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo hari ini dilaporkan menggesa kerajaan mengambil tindakan terhadap Naik dan tidak membenarkan beliau terus tinggal di Malaysia.

Katanya, mereka membangkitkan isu itu kepada Mahathir dalam mesyuarat Kabinet pagi tadi dan terpulang kepada perdana menteri untuk menentukan cara menangani Naik.

Semalam, Mahathir mendakwa pendakwah popular itu mungkin dibunuh jika beliau dihantar pulang ke India.

Sumber: FMT