Stres Dengan Perokok ‘Tak Makan Saman’. Ini Cara Buat Aduan Terus Ke KKM, Guna WhatsApp Jer..

“Pergh… Selamba je diorang ni merokok kat sini. Padahal dah terpampang depan mata simbol larangan merokok tu. Tak pasal-pasal aku kena cari tempat lain nak makan dengan anak-anak ni.”

Mesti geram kan kalau ada perokok yang buat tak tahu je dengan larangan merokok yang dikuatkuasakan oleh kerajaan?

Nak cakap depan-depan mungkin ada yang tak berani, tambahan pula ada kes pelayan restoran yang kena lempang dek pelanggan akibat melarangnya daripada merokok. Macam-macam hal!

Apapun, sebagai orang awam kita tak sepatutnya terus berdiam dan membiarkan perokok membuat sesuka hati di kawasan larangan merokok. Kita masih boleh menyuarakan aduan terus kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya tindakan lanjut boleh diambil.

TALIAN KHAS ADUAN LARANGAN MEROKOK OLEH KEMENTERIAN KESIHATA MALAYSIA

Terkini menerusi Facebook, KKM telah mewar-warkan bahawa orang awam boleh membuat aduan larangan merokok melalui talian khas yang telah disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Ada 2 cara mudah untuk membuat aduan ini

1. Aduan melalui telefon:

Untuk mereka yang ingin membuat aduan boleh menghubungi di talian 03-8892 4530 mengikut waktu pejabat.

2. Aduan hotline mesej bergambar (Whatsapp)

Selain panggilan telefon, talian hotline juga turut disediakan iaitu di talian 010-860 8949.

Talian ini hanya digunakan untuk meninggalkan pesanan sahaja dengan menghantar bukti bergambar perokok yang merokok di kawasan larangan merokok.

Orang awam juga boleh membuat aduan kepada KKM sekiranya mana-mana kedai makan atau restoran tidak mempunyai papan tanda larangan merokok.

Secara ringkasnya, boleh rujuk maklumat asal dalam infografik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia ini.

JOM SAMA-SAMA JAYAKAN MISI MALAYSIA BEBAS ASAP ROKOK

Jom kita kongsi dan sebarkan infografik ini supaya lebih ramai ambil maklum dengan platform aduan yang betul.

Ayuh rakyat Malaysia, kita sahut seruan kerajaan dan sama-sama jayakan misi Malaysia Bebas Asap Rokok!

Kalau ramai-ramai berganding bahu, tak mustahil kita mampu mengubahnya. Dengan mewujudkan ‘tekanan’ ini, diharapkan agar perokok lebih prihatin dan mengambil serius terhadap larangan merokok yang dikuatkuasakan. Bahkan, ia mungkin boleh membantu perokok untuk terus berhenti merokok. Lagi bagus kan?

Sumber: Siraplimau.com