Sentiasalah Bersyukur Dengan Nikmat Keamanan – Pesan PM

JERLUN: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengajak rakyat Malaysia supaya sentiasa bersyukur dengan nikmat keamanan yang dikecapi berbanding beberapa negara lain yang bergolak akibat persengketaan.

Katanya, rakyat masih dapat menjalani ibadah puasa dengan selesa dan selamat tanpa berasa terancam dengan serangan musuh.

“Saya cuma ingin ingatkan, ini (keamanan) rezeki yang diberi Tuhan kepada kita, dan kita adalah orang yang tidak suka bermusuh serta berperang.

“Kita lihat banyak negara Islam lain amat menakutkan, umat Islam berperang sesama sendiri sehingga hancur seluruh negara mereka dan beribu orang terbunuh.

“Kita harus bersyukur sepanjang masa sebab ada umat Islam yang hidup dalam keadaan tidak tenang kerana peperangan, seperti yang kita lihat di Syria dan Yaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Perdana Menteri, di Masjid An-Najah, Ayer Hitam, hari ini.

Hadir sama, isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan isteri, Toh Puan Norzieta Zakaria.

Seramai 231 asnaf turut menerima sumbangan yang disampaikan sempena program berkenaan.

Sementara itu, Dr Mahathir turut menyeru umat Islam supaya menjadikan bulan Ramadan sebagai bulan untuk mengawal nafsu.

“Menahan nafsu bukan saja daripada makan dan minum tetapi kita juga perlu elakkan melakukan perbuatan dan mengucapkan kata yang dilarang.

“Bagaimanapun, janganlah kita fikir semua ini perlu dilakukan semasa bulan puasa saja, sebaliknya nafsu perlu dibendung pada masa lain juga,” katanya.

Sumber: BH Online