Selepas Syukor Khamis, Kini Muncul Pula ‘Gadis Kerbau Pink’ Di Terengganu

KUALA NERUS – Selepas tular mengenai kisah adik Muhammad Syukur Khamis, 14, yang turut digelar sebagai ‘Mowgli Malaysia’ berikutan ramai yang kagum terhadap keakrabannya dengan kerbau, kini muncul pula ‘Gadis Kerbau Pink’ yang turut disebut netizen.

Kisah gadis kerbau ini, Nadia Khairun Nisa Yusof, 17, bukanlah kisah baharu sebaliknya kembali menjadi tular selepas gambarnya dimuat naik melalui laman Facebook Amazing Terengganu 18 Januari lalu, di samping pernah disiarkan akhbar tabloid tempatan, dua tahun lalu.

Bagaimanapun rata-rata netizen teruja melihat kerbau balar atau albino berwarna merah jambu itu dan ada yang ‘tabik’ terhadap gelagat gadis tersebut melayan kerbaunya.

Tidak kurang segelintirnya mengaitkan gambar tersebut seolah-olah mahu meraih populariti dan meniru Syukur.

Memetik Bernama, keakraban pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Tong dengan kerbau balar atau albino berwarna merah jambu berusia enam tahun tidak ubah seperti kata pepatah ‘bagai isi dengan kuku’.

Nadia sudah bergelumang dengan Awang sejak bapanya Yusof Mohammad, 47, membeli Awang yang ketika itu baru berumur setahun dari seorang penternak kerbau di Kuala Berang hingga pelajar itu mendapat jolokan ‘Gadis Kerbau Pink’.

Nadia menjadikan Awang rakan sepermainan sejak enam tahun lalu dan ke kandang kerbau untuk beri makan, mandi dan bawa haiwan tersebut ke padang ragut.

Sumber: http://cempedakcheese.com/