Sekolah Salah Ajar Islam, Institusi Agama Perlu Diubah

KUALA LUMPUR: Silibus pendidikan dan institusi pendidikan Islam di negara ini perlu diubah kerana dianggap mengajar perkara salah sehingga membina mentaliti dan kelakuan negatif dalam masyarakat, kata aktivis kontroversi Wan Ji Wan Hussin.

Pengarah akademik, badan penyelidikan sosio-budaya, Saudara itu berkata, perkara yang perlu diubah adalah mentaliti orang Islam mengenai isu kafir, nabi dan kahwin bawah umur.

“Kenapa umat Islam di Malaysia diajar bahawa orang bukan Islam adalah kafir dan musuh? Isu kafir harbi sudah tidak relevan.

“Sebagai seorang Ahli Sunnah wal Jamaah, kalau kita percaya kita benar, kita tidak perlu takut sehingga melabelkan mazhab atau agama lain sebagai haram dan sesat.

“Kisah popular Nabi Muhammad berkahwin dengan Aisyah pada usia 9 tahun juga adalah salah. Ada hujah mengatakan beliau sebenarnya berkahwin pada usia 17 tahun.

“Disebabkan kisah sebegini banyak berlaku perkahwinan bawah umur,” katanya pada forum bertajuk Reformasi Institusi Agama, di sini, semalam.

Wan Ji turut menyuarakan pandangannya mengenai kekeliruan tentang perbezaan sebenar antara nabi dan rasul.

“Dalam silibus pendidikan Islam ketika ini, maksud nabi dan rasul yang diajar sebenarnya salah. Kalau maksud nabi adalah tidak wajib menyampaikan ajaran Islam, kenapa salah satu sifat nabi adalah tabligh, iaitu menyampaikan?

“Ini mengelirukan,” katanya, dalam forum anjuran Auspice Malaysia itu, yang antara lain bertujuan membuka pintu perbincangan mengenai hubung kait Islam dan institusi Islam, selain melihat keutamaan masyarakat Islam.

Seorang lagi ahli panel, pengerusi Auspice Malaysia, Saari Sungib berpendapat, umat Islam perlu mempunyai hak bersuara meskipun mereka bukan seorang ahli agama bagi mengembangkan pemikiran Islam dalam masyarakat.

“Kita sering mendengar ada individu yang ditahan kerana memberikan ceramah tanpa tauliah. Perkara ini tidak selaras dengan hak asasi manusia. Dalam Islam kita galakkan perbincangan, bukannya menghalang pandangan seseorang.

“Kalau mufti negeri dan ketua institusi agama seperti Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) dan Jakim boleh mengeluarkan pendapat mereka sendiri, hak yang sama perlu diberikan kepada semua umat Islam di negara ini,” katanya.

Pengarah Islamic Renaissance Front (IRF), Datuk Dr Ahmad Farouk Musa pula percaya penguatkuasaan Islam ke atas masyarakat agak keterlaluan. sedangkan perkara tersebut tidak ada dalam undang-undang negara.

“Kita tahu perkara yang bertentangan dengan agama Islam antaranya adalah khalwat, tidak berpuasa, tidak solat Jumaat, tetapi kenapa perlu ada penguatkuasaan ke atas mereka.

“Setiap individu berhak menentukan Islam yang bagaimana dia akan praktik, sekali gus menjadikan (Malaysia) negara Islam lebih bertoleransi. Kita juga tidak mahu isu seperti merampas Bible menimbulkan keresahan orang bukan Islam,” katanya.

Forum yang berlangsung di Kampung Baru itu menarik hadirin daripada pelbagai latar belakang, termasuk beberapa orang berbangsa Cina.

Sumber: FMT