Sehina-Hina UMNO Adalah Lebih Baik Daripada PH Sekarang, Kata Tokmat

SHAH ALAM – UMNO tetap lebih baik daripada Pakatan Harapan (PH) sungguhpun parti itu menerima cacian hebat sejak tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tindakan kerajaan PH hari ini yang lebih banyak ‘copy paste’ dasar kerajaan terdahulu membuktikan gabungan itu lebih teruk berbanding UMNO.

“Mana lagi teruk, yang dituduh gagal selama 61 tahun ke atau hanya tukar nama je apa-apa yang pernah dikutuk dulu?

“Sebangsat-bangsat UMNO, sehina-hina UMNO, dan seburuk-buruk UMNO yang dicaci, adalah lebih baik dari PH sekarang,” tulisnya dalam Facebook.

Sebelum ini pemimpin-pemimpin UMNO menyifatkan pembentangan Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada November lalu juga sekadar ‘copy paste’, tukar nama, dan kesinambungan daripada pentadbiran kerajaan BN.

Antaranya, PH mengumumkan pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH) yang mana ia adalah penjenamaan semula Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dimulakan BN.

PH ketika menjadi pembangkang sebelum ini sering mengkritik BR1M sebagai dedak dan gula-gula untuk memancing pengundi .

PH juga menyifatkan BR1M sebagai dedak dan pemberian ‘one off’ yang tidak akan menyelesaikan masalah rakyat.

Terbaru, PH menggunakan kaedah apungan terkawal bagi penetapan harga petrol RON95 dan diesel sebagaimana yang dilakukan oleh BN, walaupun sebelum ini menuduh kerajaan itu melakukan tindakan paling tidak beretika kerana mengenakan cukai tersembunyi ke atas minyak.

Sumber: Suara TV