Saya Terjatuh, Bukan Didera..

BUKIT MERTAJAM: Mendakwa dirinya hanya terjatuh walaupun hakikat sebenar, seluruh badan warga emas ini penuh dengan luka, lebam dan kesan patah.

Tidak terjangkau dek akal bagaimana kecederaan begitu hanya akibat jatuh sahaja, namun itu yang diberitahu mangsa berusia 64 tahun ini kepada polis apabila ditanya mengenainya.

Demi kasih terhadap dua anak dan seorang menantu, si ibu malang itu menafikan dakwaan dirinya menderita akibat didera, sebaliknya rela dianggap jatuh.

Terdahulu, dia diselamatkan pihak berkuasa selepas ditemui penduduk terkurung dalam rumahnya di Flat Desa Wawasan 1, di sini jam 1 tengah hari kelmarin.

Ketika ditemui, dia yang hanya berkain batik, cuba keluar melalui pintu jeriji besi yang berkunci di hadapan rumah dan penduduk kemudian menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pihaknya ke lokasi sebaik laporan diterima dan wanita itu terus dibawa ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk rawatan.

“Pemeriksaan doktor mendapati mangsa luka di bahagian kepala dan badan, lebam di seluruh badan dan dikhuatiri cedera patah yang lama dipercayai didera.

“Keadaan mangsa bagaimanapun stabil dan masih dirawat di HBM.

“Susulan itu polis menahan dua anak kandungnya masing-masing seorang lelaki dan perempuan berusia 32 dan 35 tahun selain menantu perempuan berusia 28 tahun yang juga OKU,” katanya di sini, semalam.

Nik Ros Azhan berkata, siasatan pihaknya mendapati mangsa tinggal bersama ketiga-tiga suspek di unit berkenaan dan mereka menghadapi masalah kewangan sehingga sering mengalami tekanan.

Beliau berkata, pemeriksaan kesihatan ke atas semua suspek dilakukan di HBM, mengesahkan mereka mengalami tekanan perasaan, namun tiada rekod rawatan psikiatrik sebelum ini.

“Mangsa pula masih belum jalani pemeriksaan mental, namun mempunyai sejarah kemurungan. Dalam keterangannya, dia mendakwa jatuh dan tidak dipukul anaknya tetapi berdasarkan kecederaan, dipercayai dia dipukul dengan kayu.

“Di rumah itu, mereka dikatakan jarang makan dan keadaan begitu daif daripada semua segi. Ketiga-tiga suspek tidak bekerja dan akan mengemis jika kehabisan duit bantuan menyebabkan mangsa dikurung di dalam rumah.

“Siasatan mendapati anak perempuan mangsa menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM400 (rekod di Perak), manakala menantunya RM400 daripada JKM Penang,” katanya.

Menurutnya, ada dua kanak-kanak berusia enam dan 10 tahun tinggal di rumah itu yang juga cucu mangsa, sudah diserahkan kepada saudara terdekat untuk penjagaan sementara.

Katanya, ketiga-tiga suspek juga dalam proses temuduga untuk menyambung kontrak sewa unit di flat berkenaan yang didaftarkan atas nama menantu mangsa sejak 2016.

“Kami masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan kepada mangsa,” katanya.

Sumber: Harian Metro