Salah Daftar Akaun Bank, 300,000 Terjejas, Belum Terima BSH

PUTRAJAYA: Penyaluran fasa kedua Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 tidak dapat dikreditkan ke akaun kira-kira 300,000 penerima berikutan nombor akaun bank yang didaftarkan tidak tepat, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

“Bagi BSH 2019, pembayaran bagi penerima berumur 59 tahun ke bawah adalah melalui akaun bank isteri. Perkara ini telah diumumkan kepada setiap penerima BSH melalui surat makluman dan turut dipaparkan di dalam portal BSH https://bsh.hasil.gov.my untuk makluman umum.

“Namun demikian, sebilangan penerima BSH 2019 telah mendaftarkan nombor akaun bank suami dan ini menggagalkan pengkreditan akaun kerana nombor akaun itu bukan di bawah nama isteri.

“Sehubungan itu, bagi memastikan penerima yang gagal dikreditkan menerima pembayaran berkenaan, Bank Simpanan Nasional (BSN) akan mewujudkan akaun bank baharu secara automatik untuk penerima yang berkenaan.

“Maklumat akaun bank baharu boleh diketahui melalui surat makluman yang akan dikeluarkan atau dengan melayari portal BSH. Pembayaran bagi golongan itu akan dikreditkan terus ke akaun berkenaan mulai 14 Jun ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Di samping itu, Guang Eng berkata, terdapat juga 300,000 penerima BSH 2019 dari kawasan pedalaman dengan akaun bank yang akan turut menerima pembayaran mulai 14 Jun ini.

“Bagi penerima pedalaman yang tiada akaun pula akan dibuat mulai 1 Julai depan secara tunai.

“Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2747 serta emel kepada bsh@treasury.gov.my,” katanya.

Fasa kedua BSH 2019, membabitkan penyaluran peruntukan sebanyak RM1.42 bilion dan memanfaatkan hampir 3.6 juta penerima BSH.

Hingga kini, bayaran fasa kedua BSH 2019 sudah disalurkan ke dalam akaun bank bagi tiga juta penerima.

Sumber: BH Online