Sah. Anak Menteri Pertahanan, Mat Sabu Ditahan Kerana Ganja

KUALA LUMPUR 5 Jan. – Anak lelaki seorang menteri yang ditahan polis kerana disyaki positif dadah jenis ganja ketika berada di sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang malam tadi dilaporkan anak kepada Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Perkara berkenaan disahkan sendiri oleh Setiausaha Politik Mohamad, Azhar Che Mat Dali yang memberitahu Ahli Parlimen Kota Raja itu juga mahu kes membabitkan anaknya berusia 31 tahun itu diadili mengikut lunas undang-undang yang sah.

Jelas Azhar, Mohamad juga sedang berada di Balai Polis Dang Wangi bagi menguruskan kes anaknya.

“Setiap orang adalah tidak bersalah selagi undang-undang tidak membuktikan bahawa dia bersalah,” katanya seperti dipetik portal berita Free Malaysia Today hari ini.

Suspek yang ditahan bersama-sama seorang lagi rakannya berusia 33 tahun merupakan antara 101 individu iaitu 55 wanita dan 46 lelaki yang ditahan dalam Op Pusat Hiburan, malam tadi.

Operasi itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) dan Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi. – UTUSAN ONLINE