Ramai Setuju Jika Kerajaan Tetapkan Had Masa Keluar Malam Bagi Remaja Bawah 18 Tahun

Mungkin satu berita baik yang dah lama ditunggu-tunggu oleh ibu bapa – Kerajaan dan pihak berkuasa sedang mempertimbangkan kemungkinan menetapkan had masa atau ‘curfew’ bagi remaja bawah umur di Malaysia untuk keluar rumah pada waktu malam tanpa pengawasan orang dewasa. Larangan khas ini bertujuan untuk melindungi mereka daripada kegiatan dan pengaruh negatif yang semakin membimbangkan.

Ini adalah antara perkara yang dibangkitkan dan dipersetujui di mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai Pemberantasan Dadah yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata pihak berkuasa serius mempertimbangkan usul ini bagi anak-anak bawah usia 18 tahun kerana rekod menunjukkan kegiatan menghidu gam adalah serius di kalangan remaja.

Katakan tidak pada dadah, walaupun ganja

ICELAND ANTARA NEGARA YANG TELAH MEMPRAKTIKKAN LARANGAN KELUAR MALAM BAGI REMAJA BAWAH UMUR

Jika ia ditetapkan, Malaysia bukanlah menjadi negara pertama yang akan memperkenalkan ‘perintah berkurung’ ini.

Negara seperti Iceland contohnya telah mengamalkan polisi ini, di mana di bawah Akta Perlindungan Kanak-kanak di Iceland, kanak-kanak di bawah usia 12 tahun tidak dibenarkan untuk berada di luar rumah selepas jam 8 malam kecuali diiringi oleh orang dewasa.

Kanak-kanak berumur 13 hingga 16 tahun pula tidak boleh berada di luar rumah selepas jam 10 malam, kecuali jika mereka pulang dari acara yang diiktiraf oleh sekolah, organisasi sukan atau kelab belia di sana.

Mereka yang melanggar undang-undang ini akan dibawa ke balai polis dan ibu bapa mereka perlu mengambil mereka di sana.

MASIH DI PERINGKAT CADANGAN

Dr Wan Azizah juga mengatakan bahawa undang-undang baharu untuk menangani penyalahgunaan bahan psikotropik juga sedang dirangka, sambil menambah bahawa ini bertujuan untuk menangani isu tabiat menghidu gam di kalangan belia.

“Ini masih di peringkat cadangan. Kita masih belum memikirkan tindakan-tindakan hukuman serta unsur-unsur pendidikan yang kita mahu sebagai sebahagian daripada undang-undang.”

“Tetapi apa yang pasti ialah kita perlu memastikan bahawa generasi masa depan kita tidak ketagih dengan produk psikotropik dan menghidu gam,” katanya sambil menambah bahawa walaupun kebiasaan itu mungkin tidak kelihatan berbahaya seperti menyuntik diri dengan dadah, namun ia adalah tetap merbahaya, jika tidak lebih berbahaya.

SETUJU TAK?

Jadi, apa kata anda? Setuju tak dengan cadangan untuk menguatkuasakan larangan keluar malam untuk remaja ini? Bagi kami, ia adalah inisiatif yang baik dan patut disokong. Tindakan tegas sebegini setidak-tidaknya dapat mengawal kelakuan remaja yang sukar dikawal oleh ibu bapa. Rata-rata para netizen juga meluahkan pendapat yang sama.

Anda pula macam mana?

Sumber: The Star Via Siraplimau.com