Premis Gantung Bendera Malaysia Terbalik Terima Surat Tunjuk Sebab

Kuantan : Sebuah pusat pameran, jualan dan servis kenderaan di Sungai Isap di sini, diarahkan memberi penjelasan mengenai insiden memasang Jalur Gemilang terbalik, yang tular di laman sosial pada minggu lepas.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) Datuk Hamdan Hussin berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada Isnin lalu yang membawa kepada pengeluaran surat tunjuk sebab kepada pemilik premis berkenaan.

”Pemilik premis diberikan tempoh tiga hari untuk memberi penjelasan dan saya difahamkan tempoh ini akan berakhir esok. Setakat ini, kami masih menanti jawapan mereka,” katanya.

Hamdan berkata demikian semasa ditemui pada Program Pemantauan Pemasangan Bendera Malaysia sempena bulan kebangsaan di premis sekitar bandar Kuantan hari ini, yang turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Abd Rahim Muda.

Premis tersebut menurut Hamdan, boleh dikenakan kompaun sehingga RM500 mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 sekiranya gagal mengemukakan surat dan penjelasan yang diminta pihak MPK.

Rakaman gambar dua daripada tiga bendera yang dinaikkan di hadapan premis perniagaan itu berada dalam keadaan terbalik tular di Facebook pada Isnin lepas, dan difahamkan mereka telah membuat permohonan maaf di laman sosial rasmi pada hari sama selepas menyedari kejadian tersebut.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata tinjauan hari ini mendapati hanya sekitar 50 peratus premis sahaja yang telah memasang Jalur Gemilang di premis mereka dan diharapkan lebih ramai yang akan berbuat demikian dalam masa terdekat.

Katanya, antara alasan yang kerap diberikan apabila ditanya ialah tidak menyedari keperluan berbuat demikian selain ada yang menunggu bendera percuma daripada kerajaan.

”Surat pekeliling berhubung pemasangan bendera bermula 16 Ogos sehingga 16 Sept telah diberikan dan kita akan mengeluarkan surat peringatan dalam tempoh terdekat kepada mereka,” katanya.

Sumber : Bernama