Polis Siasat Haziq Atas Tuduhan Seks Luar Tabii, Edar Bahan Lucah

Polis melakukan siasatan terhadap Haziq Abdullah Abdul Aziz, individu yang mengaku terlibat dalam skandal video lu cah baru-baru ini di bawah beberapa peruntukan undang-undang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Huzir Mohamed berkata, dua daripadanya membabitkan tuduhan melakukan persetubuhan luar tabii di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan mengedarkan bahan lu cah di bawah Seksyen 292 kanun yang sama.

Haziq juga disiasat di bawah Sekysen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian serta Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah Keamanan.

Huzir berkata Haziq berada di terminal pelepasan antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika ditahan kira-kira jam 6 petang.

Katanya, berdasarkan tiket penerbangan, suspek dijadualkan berlepas ke Manila, Filipina.

Ketika dihubungi beliau berkata pihak polis tidak dapat mengesahkan sama ada polis akan memohon tahanan reman terhadap Haziq esok.

Difahamkan pihak polis cuba menjejaki Haziq di rumahnya di Kuching pada Khamis tetapi tidak berjaya.

Sementara itu, peguam Ramesh Kumar, yang mendakwa mewakili Haziq berkata dia tidak mengetahui lokasi Haziq.

“Kami akan menghubungi polis pada pagi nanti untuk mengetahui di mana anak guam kami dan sekiranya dia dibawa untuk reman, kami akan menghadiri prosiding,” katanya kepada Malaysiakini.

Haziq baru-baru ini mendakwa dia adalah individu dalam rakaman klip video se ks yang dikaitkan dengan lelaki mirip Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali di sebuah hotel di Sandakan pada 11 Mei.

Dalam pengakuannya sehari selepas video itu disebarkan, Haziq mendakwa kejadian itu dirakam tanpa pengetahuannya dan diedarkan sehari sebelumnya.

Azmin menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah jahat dengan niat untuk memusnahkan karier politiknya.

Haziq, 27, membuat laporan polis semalam dengan mendakwa dia telah bertemu dengan setiausaha politik Azmin, Hilman Idham pada Rabu.

Dalam laporannya, pemuda itu mendakwa Hilman cuba memaksanya untuk menafikan penglibatan dalam klip video berkenaan.

Sumber: Malaysiakini