Polis Sahkan Haziq Ditahan Di KLIA

KUALA LUMPUR: Haziq Abdullah Abdul Aziz, individu yang mengaku sebagai lelaki dalam satu video lu cah yang dikaitkan dengan seorang menteri ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang petang tadi.

Ketua Pemuda PKR Santubong, berusia 27 tahun itu ditahan ketika dipercayai hendak menuju ke satu destinasi yang masih belum diketahui sama ada ke dalam atau luar negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata dia ditahan oleh pasukan siasatan khas Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, bagi membantu siasatan.

“Setakat ini saya mengesahkan penahanan Haziq namun butiran lanjut mengenai penahanannya sedang dikemaskinikan dan akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Haziq menjadi tumpuan selepas mendakwa dirinya adalah salah seorang individu dalam klip video yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sebelum ini Haziq sudah digantung tugas sebagai setiausaha sulit kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Md Akin.

Sumber: BH Online