Polis Pantau Trend Ubah Suai Motosikal Jenis Waisuku

KUALA LUMPUR – Keghairahan kebanyakan pemilik motosikal Yamaha Y15ZR atau popular dengan gelaran Ysuku melakukan modifikasi melampau pada jentera mereka tanpa menghiraukan garis panduan yang dibenarkan kini mula mendapat perhatian pihak berkuasa.

Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan /Kawalan Lalu lintas / Pengurusan Saman) Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd. Nadzri Hussain berkata, trend pengubahsuaian tanpa menghiraukan undang-undang itu dilihat semakin menjadi-jadi terutamanya dalam kalangan belia.

“Tindakan itu (pengubahsuaian) dilihat sebagai berbahaya dan mampu mengakibatkan kemalangan maut terutamanya jika ia melibatkan kemampuan enjin.

“Sebagai contoh, jika sesebuah motosikal itu dijual dengan spesifikasi kelajuan 110 kilometer sejam (km/j), jangan ubah enjin untuk menunggangnya sehingga kelajuan lebih 140 km/j, ia jelas melanggar undang-undang jalan raya dan dikhuatiri motosikal itu tidak dapat menampung kelajuan baharu sekali gus menyumbang kepada peningkatan kes kemalangan maut, ” tegas beliau.

Beliau berkata demikian pada satu sidang akhbar selepas selesai Op Khas Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Duta di sini semalam.

Menurut Mohd. Nadzri, perkara itu kini mendapat perhatian pihaknya dan anggota daripada Cawangan Risikan Operasi Bukit Aman turut telah diarahkan agar memerhatikan perkembangan trend tersebut.

“Mengikut peruntukan undang-undang sedia ada, sebarang modifikasi yang tidak mendapat kelulusan daripada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah salah dan boleh dikenakan tindakan termasuk disita tanpa mengira sama ada pemiliknya seorang selebriti terkenal atau orang biasa.

“Trend pengubahsuaian ini akan dipantau dan pihak polis serta JPJ akan berterusan mengadakan sekatan jalan raya dari semasa ke semasa bagi mengesan kesalahan yang dilakukan oleh pemilik motosikal terbabit,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Mohd. Nadzri turut mendedahkan bahawa sebanyak 1,384 saman di atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan terhadap pemandu kenderaan perdagangan dalam operasi yang dilakukan selama enam hari itu.

“Dalam tempoh enam hari operasi ini dilakukan, seramai 18 orang pemandu kenderaan perdagangan seperti bas dan lori yang berusia di antara 30 hingga 40 tahun telah ditahan selepas didapati positif dadah.

“Pihak polis tidak akan sesekali bertolak ansur terhadap isu melibatkan pemandu kenderaan perdagangan dan pihak pengusaha serta pemilik syarikat disarankan agar kerap melakukan pemeriksaan ke atas pemandu mereka,” tegas beliau. – Kosmo Online