Pesanan Rani Kulup Kepada Kerajaan Pakatan Harapan

KUALA LUMPUR  – Kerajaan Pakatan Harapan diseru mempertingkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat bagi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terjamin.

Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, ketika ini rakyat sedang menilai dan meneliti segala tindak tanduk kerajaan.

Jika sebelum memenangi Pilihan Raya ke-14 dahulu, kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah memegang tampuk pemerintahan selama 61 tahun sering dilaungkan sebagai ‘tidak bagus’, kerajaan kini perlu melakukan yang lebih terbaik.

“Dulu, kata kerajaan dulu tak bagus, kerajaan sekarang ni bagus, mana bagusnya kalau dah ada makian, cacian.

“Apabila ada yang tidak kena, rakyat akan memuat naik kenyataan memaki hamun kerajaan di media sosial. Perkara macam ini kita tidak mahu,” kata Abdul Rani ketika ditemui, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama-sama tujuh lagi wakil badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis terhadap seorang pengguna media sosial kerana memuatnaik paparan berbentuk makian dan cercaan terhadap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed.

“Sebagai rakyat, jangan gunakan media sosial sewenang-wenangnya untuk memaki hamun, mencaci dan memaki. Kalau tidak puas hati, hantar memorandum, itu lagi baik daripada menggunakan akaun media sosial.

“(Kepada) Wakil rakyat (pula) harus menyelesaikan masalah rakyat, bukan sesama sendiri membuat perkara-perkara yang boleh mendatangkan kemarahan pada rakyat. Buatlah sesuatu yang baik dan membuatkan rakyat suka.

“Buat yang terbaguslah, buat baik, bagi rakyat senang, baru rakyat tak bunyi,” kata Abdul Rani. – UTUSAN ONLINE

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *