Perintah Berkurung Kepada Remaja Waktu Malam, Kelantan Perlu Runding Dengan Kerajaan Persekutuan

KUALA LUMPUR: Kerajaan Kelantan tidak dibenarkan untuk melaksanakan perintah berkurung ke atas remaja pada waktu malam tanpa konsultasi dengan kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, kajian terperinci boleh diteruskan tetapi perlu perbincangan antara dua pihak terlebih dahulu.

“Kerajaan negeri tidak boleh melaksanakan perintah ini tanpa konsultasi bersama kerajaan pusat memandangkan sesuatu pelaksanaan adalah kuasa kerajaan pusat.
“Kajian terperinci untuk melaksanakan perintah tersebut boleh diteruskan tetapi perlu perbincangan antara kerajaan negeri dan pusat terlebih dahulu.

“Ini kerana, di bawah Seksyen 31 Akta Polis 1967 memberi kuasa kepada CPO dan Menteri Dalam Negeri untuk mengeluarkan dan mengekalkan perintah berkurung di dalam rumah,” katanya menerusi Whatsapp kepada Astro AWANI.

Jelasnya lagi, terdapat juga akta-akta lain yang berkaitan dengan perintah berkurung dan darurat yang menjadi tanggungjawab Kerajaan persekutuan seperti Akta Ketenteraman Awam (Pemuliharaan) 1958 dan Akta MKN.

“Atas asas itu, kajian yang akan dibuat perlu melibatkan Kerajaan Persekutuan,” ujarnya.

Sumber: Astro Awani