Penyanyi Era 70-an Dahlan Zainuddin Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR: Penghibur era 1970-an, Datuk Mohd Dahlan Zainuddin meninggal dunia di Hospital Selayang pada jam 9.48 malam Selasa.

Allahyarham dimasukkan ke hospital pada Ahad selepas diserang angin ahmar (strok) buat kali kedua menjelang waktu berbuka puasa.

Menurut isteri beliau, Datin Effa Rizan, pemantauan yang dilakukan doktor mendapati Dahlan diserang strok di sebelah kanan pula.

Sekitar empat tahun lalu, penyanyi yang terkenal dengan lagu Kisah Seorang Biduan itu diserang strok kali pertama mengakibatkan lumpuh sebelah kiri.

Menceritakan detik-detik kecemasan itu, Effa berkata pada lewat petang Sabtu, beliau asyik berbual dengan suaminya sebelum Dahlan tiba-tiba senyap dan tidak memberikan sebarang reaksi.

Difahamkan, Allahyarham akan dikebumikan selepas Zohor esok di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Sumber: Astro Awani