Penyakit Vertigo Ramai Tak Sedar Anda Pasti Mengalaminya Walau Sekali Dalam Hidup

Anda pasti pernah mengalami penyakit vertigo tanpa anda sedari dan kesakitan ini pasti akan mengganggu segala aktiviti seharian, malahan jika dibiarkan tanpa sebarang penyembuhan ia mungkin akan menjadi lebih parah lagi.

Apa itu penyakit vertigo? Saya tak pernah dengarlah, macam pelik je. Pasti ada yang tertanya apakah jenis sakit ini dan apakah penyebabnya serta bagaimana cara untuk mengatasi penyakit ini yang pasti datang menyerang seseorang walau sekali dalam hidup mereka.

Untuk mengetahui adakah bahaya penyakit vertigo ini dan juga apakah ia boleh sembuh atau sebaliknya, perkongsian dari Dr Ezairy M. Sallih, seorang doktor pakar telinga, hidung dan tekak dari Malaysia ini pasti akan menjawab segala persoalan anda berkaitan dengan vertigo ini.

Adakah Penyakit Vertigo Berbahaya?

Ramai yang tidak sedar bahawa diri mereka telah terkena penyakit vertigo. Anda mungkin mengalami vertigo? “Kepala saya yang berpusing ini dah berhari-hari macam ini, tak berkurang langsung. Macam nak pecah kepala!” Pernahkah anda alami masalah pening kepala, tidak boleh langsung membuka mata, terasa seperti berpusing-pusing dunia ini?

Nah, ini info ringkas tentang masalah pesakit vertigo!

Vertigo ialah masalah umum yang dialami oleh kira-kira 40% orang sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka. Ia akan menyebabkan pesakit berasa seolah-olah diri sendiri atau keadaan sekeliling mereka berpusing. Sesetengah penyakit, jangkitan, trauma kepala dan proses penuaan semulajadi boleh menyebabkan perubahan dalam keseimbangan telinga dalam.

Walaupun gejala ini mungkin hanya berlaku selama beberapa jam atau hari, namun simptom mungkin boleh berlarutan selama bertahun-tahun jika tidak didiagnos dan dirawat! Masalah ini boleh dibantu dengan kaedah perubatan, pembedahan atau pemulihan vestibular.

Apa simptom-simptom yang akan dialami pesakit?

Terkadang sampai ke satu tahap yang teramat sakit terasa seperti pening kepala macam nak pecah.

Anda mungkin akan mengalami gejala seperti ini :

  1. Loya
  2. Muntah
  3. Kepala seperti berpusing
  4. Tidak boleh langsung membuka mata akibat terlalu pening
  5. Berpeluh
  6. Keresahan
  7. Debaran jantung

Cara Mengatasi Jika Terkena Penyakit Vertigo

Jika berlaku kepada anda, apa perlu anda lakukan? Ikut petua pertolongan cemas ini:

Bertenang, jangan panik.

  1. Cari kedudukan yang selesa untuk duduk sementara menunggu bantuan.
  2. Dapatkan segera bantuan perubatan jika anda diserang vertigo akut bersama muntah, masalah pertuturan dan rasa lemah.
  3. Hendaklah mendapat nasihat doktor sebelum mengambil sebarang ubat.
  4. Jika sedang memandu, berhenti dan letakkan kereta di tempat yang selamat dan minta bantuan.

Akhir kata, jika masalah yang anda sedang alami tidak berkurang, hentikan rawatan di rumah, jumpalah kami di hospital. Bila sihat, syukur. Bila sakit, jumpa doktor.

Dr Ezairy M.Sallih
Doktor telinga, hidung & tekak.

Semoga perkongsian tentang apakah itu penyakit vertigo dan juga cara untuk mengatasinya jika diserang penyakit ini secara tiba-tiba dapat membantu anda dan juga sesiapa saja sama ada pesakit atau mereka yang sihat kerana pengetahuan tentang ini juga amat bermanfaat pada satu masa nanti jika ia terkena pada diri kita. Semoga bermanfaat.