Penjual Laksa ‘Beracun’ Kini Makan Tak Lalu, Tidur Tak Lena

Itu kata pemilik gerai jualan laksa kebok, Daud Ismail, 51, yang kesal dengan tuduhan ke atas perniagaannya.

Daud dari Kampung Landak, Kupang, mempertahankan laksa yang dijualnya sejak 2003 tidak tercemar, lapor Berita Harian.

Malah, katanya, dia dan anggota keluarga akan merasa terlebih dahulu sebelum menjualnya.

“Jika beracun, saya dan keluarga dulu yang akan mati malah kami berniaga sudah 15 tahun, cuma baru tiga tahun buka gerai depan rumah.

“Apa pun kami akan rasa dulu laksa sebelum dijual, sama ada masin, tawar atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi.

Daud juga berkata tiada bahan tambahan dimasukkan.

Berkaitan bahan-bahan digunakan, dia berkata, pucuk selom digunakan dalam laksa pada hari Isnin hingga Ahad manakala salad pada Rabu hingga Sabtu.

“Pucuk Selom saya beli di Sik, jika ada baki akan dibawa sampai Selasa manakala salad pula dibeli dari pasar di Pekan Kupang di mana setiap minggu saya membeli di tempat sama,” katanya.

Beliau juga mendedahkan Pejabat Kesihatan Daerah Baling telah melakukan pemeriksaan pada 11 pagi kelmarin dan mengambil sampel laksa, kuah dan sayur.

Pemeriksaan kali kedua dibuat pemeriksaan pada jam 9 pagi semalam, namun hanya mengambil sayur sahaja, katanya lagi.

Sementara itu, Daud berkata beliau hanya mengetahui dakwaan dua orang mati selepas makan laksa ini selepas menerima mesej yang tular.

“Selepas itu, saya rasa susah hati, nak makan nasi tak lalu, tidur tak lena dan fikir siapa lagi nak datang rumah,” beliau dipetik sebagai berkata.

Tidak seperti biasa, katanya, sesetengah pengguna jalan raya kini akan memperlahankan kenderaan dan menoleh ke gerai jualannya, selepas mesej tular itu.

Kementerian Kesihatan semalam mengesahkan terdapat 19 kes keracunan makanan dengan dua mangsa meninggal dunia selepas dilaporkan memakan laksa yang dibeli di sebuah gerai di Kupang, Baling.

Bercakap dalam sidang media di Kuala Lumpur pagi tadi, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye setakat pagi tadi berkata kes itu masih disiasat.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *