Pengasas Budu Cap Ketereh Meninggal Dunia – “Ayah Sempat Pesan Jaga Molek Kilang Budu..”

PENGASAS Budu Cap Ketereh, Ismail Jusoh meninggal dunia malam semalam akibat kanser darah.

Ismail, 69, menghembuskan nafas terakhir di sisi ahli keluarganya di wad Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian kira-kira jam 8.05 malam.

Menurut anak Ismail, Mohd Izuan, 33, ayahnya dimasukkan ke HUSM pada 8 Disember lalu disebabkan tekanan darah rendah sebelum keadaannya semakin lemah dan pemeriksaan lanjut doktor mengesahkan allahyarham mengidap kanser darah tetapi masih di peringkat awal.

“Awal Januari ayah menjalani kemoterapi tetapi keadaannya semakin lemah mungkin disebabkan sebelum ini dia pernah menjalani pembedahan jantung.

“Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ketil, Tumpat jam 7.30 pagi tadi,” katanya.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Kamariah Husien, 65 dan lapan anak.

Sebelum meninggal dunia, arwah sempat berpesan kepada anaknya supaya menjaga baik kilang budu yang diusahakannya sejak 40 tahun lalu.

“Dia meminta kami menjaga sebaiknya perusahaan budu itu dan teruskan legasi sehingga ke cucu-cicit.

“Ayah sudah lama tidak turun ke bengkel kerana kesihatan tidak mengizinkan dan kami lima beradik menguruskan secara langsung, manakala tiga lagi turut memantau,” katanya.