Pemimpin Hanya Boleh Terima Anugerah Lepas Bersara – DAP

Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP memutuskan bahawa wakil rakyat DAP dan ahli majlis tempatan parti itu tidak akan menerima sebarang anugerah atau gelaran semasa tempoh aktif mereka berkhidmat dalam politik.

Menurut Ketua Parlimen DAP dan Setiausaha Organisasi DAP Loke Siew Fook, wakil rakyat dan ahli majlis tempatan parti itu akan hanya menerima anugerah dan gelaran selepas mereka bersara daripada perkhidmatan.

“Oleh itu, CEC ingin menegur pemimpin DAP yang menafikan dan mendakwa tidak tahu tentang pendirian parti sejak sedekad lalu.

“Pemimpin yang cuba memberikan alasan untuk menerima anugerah tanpa memaklumkan atau menunggu arahan daripada kepimpinan parti akan dilihat sebagai tidak menghormati parti.

“Apa jua tawaran anugerah dan gelaran harus dirujuk kepada kepimpinan pusat DAP,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mesyuarat CEC semalam diadakan susulan beberapa pemimpin DAP ditawarkan anugerah termasuk Pengerusi DAP Melaka Tan Kok Kiew, Timbalan Speaker DUN Melaka Wong Fort Pin, Pengerusi DAP Sabah Stephen Wong, Naib Pengerusi DAP Sabah Frankie Poon dan ADUN Sri Tanjung Jimmy Wong.

Mengulas lanjut, Loke berkata, Tan telah dimaklumkan dan diberitahu secara jelas tentang kata sepakat oleh CEC sejak sedekad lalu pada Julai dan CEC memutuskan untuk menyatakan rasa tidak puas hati kerana tidak dirujuk berhubung tawaran anugerah dan gelaran tersebut.

Begitu juga, katanya dengan pemimpin DAP Sabah yang menerima anugerah dan gelaran masing-masing dengan menambah bahawa mereka terlibat dalam politik kerana mahu berkhidmat kepada rakyat dan bukannya mengejar kemasyhuran, gelaran atau kedudukan.

“DAP mengiktiraf pentingnya anugerah dan gelaran sebagai cara untuk menghargai sumbangan mereka yang menjadi tokoh ulung dalam masyarakat.

“Dan oleh itu menasihati wakil rakyat dan ahli majlis tempatan untuk menerima penghormatan ini selepas mereka bersara daripada perkhidmatan, mungkin selepas mereka telah menyumbang kepada masyarakat pada umumnya,” katanya.

Loke tidak mengulas lanjut berhubung apa yang sewajarnya dilakukan oleh pemimpin yang menerima gelaran atau anugerah berkenaan.

Sumber: Malaysiakini

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *