Peguam Sifatkan Hukuman Terhadap ‘Abang Botak’ Terlalu Berat

KUALA LUMPUR: Hukuman penjara 12 bulan terhadap seorang pembantu stor yang digelar `Abang Botak’ adalah terlalu berat, kata seorang peguambela dan peguamcara.

Adzly Ab Manas berkata memandangkan kesalahan Abang Botak atau nama sebenarnya, Danial Abdullah Tan, 31, merupakan kesalahan pertama sepatutnya hukuman kepada pesalah perlulah bersifat memberi pengajaran.

“Saya secara peribadi merasakan hukuman 12 bulan penjara terhadap Abang Botak adalah terlalu berat,” katanya melalui kenyataan yang dipetik daripada Sinar Harian hari ini.

Katanya, justifikasi menjatuhkan hukuman mestilah ditimbang dengan faktor-faktor mitigasi.

Selain itu, Adzly yang juga Setiausaha Agung Persatuan Perjuangan Masyarakat Kota (Perkata) berkata skil peguam menasihati anak guam amat penting dan jangan semata-mata mengajak anak guam terus membuat pengakuan salah.

“Ada ketika, baik jika memohon kes dibicarakan supaya peguam faham semua bukti dan fakta kes,” katanya.

Sementara itu, pandangan sama turut suarakan dua lagi peguam, Farhan Haziq Mohamed dan Syahredzan Johan, menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan bersama hari ini.

Menurut mereka, hukuman khidmat masyarakat dilihat lebih baik untuk memberi peluang kepada pesalah termasuk Daniel Abdullah Tan untuk membetulkan kesalahannya dengan cara melakukan kebaikan kepada orang lain dalam tempoh tertentu.

Menurut kedua-dua peguam itu, meskipun ada yang berpendapat bahawa hukuman penjara adalah suatu hukuman yang setimpal, namun ia sebenarnya bukanlah penyelesaian yang sesuai bagi setiap individu yang melalui sistem keadilan jenayah negara.

“Kami mengecam perbuatan tertuduh dan menyokong penggunaan undang-undang ke atas mereka yang melakukan kesalahan ‘road bully’ seperti yang terjadi di dalam kes ini. Pihak berkuasa sewajarnya memandang serius pada insiden-insiden seperti ini.

“Pada masa yang sama, kami dengan segala hormatnya berpendapat bahawa terdapat kekhilafan pada keputusan Puan Majistret dalam mengenakan hukuman penjara tersebut.

“Kami sedar bahawa Seksyen 427 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara minima satu tahun, tetapi kami merasakan bahawa adalah lebih sesuai sekiranya tertuduh dikenakan hukuman denda dan bukannya penjara, mengambil kira beberapa faktor mitigasi termasuklah pengakuan salah dan keinsafan yang dilaporkan ditunjukkan oleh tertuduh,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut mengenai hukuman khidmat masyarakat, kedua-dua peguam itu berkata, ia bukanlah asing dalam sistem keadilan jenayah tanah air, tetapi ia perlu diperluaskan kepada pesalah-pesalah lain mengikut kesesuaian melalui pindaan terhadap Kanun Tatacara Jenayah.

“Walaupun ada yang berpendapat bahawa hukuman penjara adalah suatu hukuman yang setimpal, ia sebenarnya bukanlah penyelesaian yang sesuai bagi setiap individu yang melalui sistem keadilan jenayah negara.

“Malah, dengan meletakkan pesalah dalam penjara, ia menjarakkan pesalah dengan masyarakat dan juga boleh membawa impak yang negatif kepada pesalah.

“Oleh itu, kerajaan wajar meluaskan pemakaian hukuman khidmat masyarakat melangkaui peruntukkan Seksyen 293 Kanun Tatacara Jenayah sahaja. Untuk makluman, Seksyen 293 membenarkan Mahkamah mengenakan hukuman khidmat masyarakat kepada ‘pesalah muda’, iaitu mereka yang berumur dalam lingkungan 18 hingga 21 tahun,” katanya.

Dalam kenyataan sama, kedua-dua peguam itu turut berharap agar tertuduh akan mengemukakan rayuan atau memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk menyemak semula hukuman yang dikenakan.

Terdahulu, seorang pembantu stor yang digelar ‘Abang Botak’ oleh warganet terpaksa menyambut Aidilfitri di dalam penjara selepas Mahkamah Majistret Petaling jaya menjatuhi hukuman penjara 12 bulan kerana melakukan khianat dengan memecahkan cermin sebuah kereta.

Sumber: Astro Awani