Orang Melayu Dulu Genius!” – Ini 4 Sebab Kenapa Rumah Melayu Dinobatkan Memiliki Seni Bina Terbaik Dunia

Siapa pernah tinggal di rumah kayu masa kat kampung dulu? Meskipun cuaca panas lit-lit kat luar sana tu, suhu dalam rumah kayu mesti sejuk dan nyaman je kan. Hebat betul rekaan rumah Melayu klasik ni.

Namun tahu tak korang yang rumah Melayu tradisional ini pernah dinobatkan antara yang mempunyai seni bina terbaik di dunia? Nak tahu kenapa? Haa ini 4 sebab yang dikongsikan pengguna Facebook Nazia Suhaimi tentang betapa geniusnya arkitek Melayu dulu mereka bentuk seni bina hebat ini.

Laluan Angin

“Perasan tak, bila kita balik ke kampung, rumah kayu ni sejuk saja. Nak-nak lagi pada waktu tengah malam, pehhh kalah rumah berhawa dingin. Merekot kesejukan kalau tak ada selimut.

“Sebabnya, rumah kayu ada banyak laluan angin. Papan lantai rumah ada sedikit ruang. Atas tingkap ada lubang angin. Bumbung pula kebiasaannya berlapis. Kalau tidak pun, mesti ada lubang angin,” kata Nazia.

Menurutnya lagi, haba atau angin panas selalu bergerak dari bawah ke atas. Bila sebuah rumah tu ada banyak lubang angin, haba akan ada laluan untuk keluar. Sebab tu jugaklah, kalau rumah ada siling tinggi korang akan rasa kurang panas berbanding rumah siling rendah.

Pintu masuk lelaki lain, perempuan lain

“Masa saya kecil-kecil dulu, bila ikut Mak pergi kenduri di kampung, orang perempuan mesti masuk ikut pintu tengah atau pintu dapur. Saya jadi pelik. Macam tak adillah, sebab ayah masuk ikut pintu depan.

“Rupanya, pengaruh Islam bukan setakat pada agama saja, bahkan dalam kehidupan seharian orang Melayu itu sendiri,” katanya.

Menurut Nazia, sebab itulah rumah Melayu tradisional ada 2 pintu. Biasanya bahagian anjung dan serambi akan dijadikan ruang untuk orang lelaki berbual-bual. Orang perempuan pulak bersembang di sebelah dalam rumah iaitu bahagian dapur atau rumah ibu.

Rumah ibu terletak di bahagian tengah rumah dan sedikit luas. Kalau korang tengok dalam drama, biasanya scene emak terlantar sakit di ruang ibu rumah inilah. Ah gitu!

Rumah tinggi

“Pernah terfikir tak kenapa rumah kampung ni tinggi? Ada banyak faktor sebenarnya.

“Rumah kampung dulu tak ada pagar. Masa dulu, orang lalu celah-celah rumah kalau nak ke kedai atau surau. Cuba bayangkan kalau kita tak dapat kawal mata, mau kita skodeng rumah orang lain. Atas sebab itu jugalah, kenapa rumah kampung biasanya tinggi-tinggi,” kata Nazia.

Antara sebab lain ialah nak elak binatang buas atau liar masuk ke dalam rumah dan juga faktor iklim kita iaitu musim hujan yang kadang-kalanya menyebabkan banjir.

Lagipun, ruang bawah rumah boleh dijadikan tempat simpanan barang. Macam stor.

Kiblat lurus

Lebih unik menurut Nazia, bila balik saja ke kampung tak susah sebenarnya nak cari kiblat. Bentang saja sejadah, kiblat itu tegak dan lurus.

“Biasanya bahagian depan dan belakang rumah menghadap arah Utara Selatan. Manakala bahagian kiri kanan rumah menghadap Timur Barat. Secara tak langsung, rumah menghadap kiblat dan laluan angin (cross ventilation). Sebab itu kalau duduk di serambi, sedap ditiup angin sepoi-sepoi.

“Orang dahulu, bukan setakat bahasanya indah. Semuanya berseni. Bahkan susun atur rumah pun bermaksud,” katanya lagi.

Kagum dengan seni bina rumah Melayu. Siapa kata Melayu pemalas? Kita sebenarnya genius tau!

Sumber: Lobakmerah.com