OKU Buta Beri Nasihat ‘Makan Dalam’ Untuk Penganggur Malas Kerja

BUKAN kemewahan diminta, sebaliknya hanya keperluan wajib termasuk cukup makan dan pakai bagi menjalani kehidupan sebagaimana insan normal lain.

Itu antara luahan dan isi hati orang kurang upaya (OKU) yang cacat penglihatan sejak dilahirkan, Azhar Ibrahim, 36, yang mampu menampung perbelanjaan diri sendiri dan keluarga dengan membuka bengkel membaiki motosikal di bawah rumah keluarganya di Kampung Batu Enam, Tanjung Tualang, Batu Gajah.

Azhar yang mampu mengetahui jenis kerosakan enjin motosikal berdasarkan bunyi deruman enjin berkenaan berkata, pada awalnya dia mahu menjadikan kebolehan mengurut sebagai punca pendapatan, namun hasrat itu tidak kesampaian kerana tidak mendapat bantuan kewangan.

Bagaimanapun, dia tidak berputus asa sebaliknya mempelajari kemahiran menggunakan tangannya untuk mengenali bahagian dan aksesori motosikal menerusi penerangan daripada seorang rakannya dalam tempoh sebulan.

“Saya membaiki motosikal satu demi satu, maknanya selesai baiki satu motosikal, barulah saya terima motosikal lain yang rosak, bukan menerima sekali gus kerana saya seorang sahaja yang membaiki motosikal.

“Jadi, dalam sebulan saya boleh dapat RM800, cukuplah kerana saya tidak minta kekayaan, setakat lepas makan minum dan pakaian saya.

“Jangan orang kata, belum sampai cukup bulan, tidak cukup duit. Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan saya,” kata anak kelima daripada enam beradik itu.

Beliau ditemui selepas bengkel motosikalnya itu dikunjungi Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A Sivanesan, yang turut hadir turut menyerahkan sumbangan RM5,000 kepada Azhar.

Azhar berkata, sejak usianya tujuh tahun dia gemar mendengar bunyi deruman motosikal, justeru kelebihan pendengaran itu digunakan sebaiknya untuk mengesan kerosakan motosikal terbabit.

Menurutnya, meskipun kekurangan pada penglihatan, namun kelebihan pancaindera lain digunakan sebaiknya untuk mencari peluang memajukan taraf hidup.

“Bukan saya mahu bangga diri, tetapi sebaiknya gunakan kudrat yang ada untuk berdikari kerana rezeki ada di mana-mana, carilah peluang di merata dunia,” katanya.

Dalam pada itu, dia bersyukur kerana kerajaan negeri turut memberikan bantuan RM5,000 bagi menaik taraf bengkelnya serta mengurangkan beban keluarganya.

Azhar pernah menerima geran sebanyak RM10,000 menerusi Skim Bantuan Galakan Perniagaan Orang Kelainan Upaya (SBGP-OKU) pada 2013.

Akhbar Harian Metro sebelum ini pernah menyiarkan kisah Azhar yang berkebolehan membaiki motosikal walaupun cacat penglihatan.