Nik Abduh Mahu Kerjasama PAS-UMNO Sampai Kiamat

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nik Abduh Nik Aziz berharap kerjasama PAS dan Umno berterusan dan bukan hanya terbatas untuk berdepan pilihan raya umum (PRU) ke-15.

“Sebab itu saya kata biarlah sampai kiamat,” kata Nik Abduh dalam wawancara dengan The Malaysian Insight.

Ahli parlimen Bachok itu juga mengakui bahawa kerjasama itu pada mulanya tidak begitu mendapat sambutan daripada akar umbi PAS kerana mereka merasakan tidak memerlukan Umno.

Namun, jelasnya, kini akar umbi PAS semakin terbuka dengan kerjasama berkenaan.

“Semakin positif, bahkan hubungan baik itu melebih-lebih pula dari pemimpin. Mereka gembira sebab kampung semakin besar.

“Dulu kalau kata (sesebuah kampung) ada 100 buah rumah tapi diasingkan, 50 rumah parti itu 50 rumah pengikut PAS, tapi sekarang tak berlaku,” katanya.

Bagaimanapun, tambah Nik Abduh, kemungkinan untuk PAS membentuk kerajaan campuran dengan Umno masih belum dibincangkan.

“Kita belum beri penjelasan untuk itu lagi sebab situasi itu masih berlaku, jadi kita tidak boleh jawab,” katanya.

Selepas PRU ke-14 yang menyaksikan BN kehilangan kuasa di peringkat pusat buat kali pertama, Umno menjalin hubungan rapat dengan PAS dalam barisan pembangkang.

Meskipun pemimpin PAS pernah menafikan kemungkinan bekerjasama dengan Umno, kedua-dua parti itu kini memberi saingan sengit kepada kerajaan PH.

Kerjasama kedua-dua parti itu memberikan tiga kemenangan buat BN dalam tujuh siri PRK yang diadakan selepas PRU ke-14, iaitu di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau.

Sumber: Malaysiakini