Nazri Penyokong Tegar Anwar, “Jadi PM Atau Tidak, Saya Tetap Sokong Anwar”

KUALA LUMPUR – Meskipun berbeza ideologi politik, Datuk Seri Nazri Aziz menyatakan sokongan padunya kepada Presiden PKR,Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah tanpa berselindung bekas Menteri Kebudayaan Pelancongan itu mengisytiharkan dirinya sebagai penyokong tegar kepada Anwar, sama ada beliau akan diangkat sebagai Perdana Menteri kelapan atau tidak.

“Saya penyokong tegar Anwar, sekiranya beliau jadi Perdana Menteri atau tidak, saya tetap sokong dan akan selalu menyokong Anwar.

“Saya adalah kawan Anwar, tak kira masa dia susah atau senang, saya tetap sokong. Malah ketika saya jadi menteri pun saya hadir ke majlis perkahwinan anaknya, Nurul Izzah sebab saya penyokong dan kawan Anwar.

“Walaupun Anwar tinggalkan Umno, saya tak tinggalkan Umno tapi saya tetap penyokong beliau,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

Ditanya mengenai jalinan kerjasama antara Umno dan PKR, Nazri yang juga Ketua Umno Bahagian Padang Rengas tidak menolak kemungkinan pada masa depan.

“Situasi politik Malaysia sentiasa berubah dan dinamik kita tak boleh jangka apa yang tidak berlaku hari ini tidak akan terjadi pada masa depan.

“Jadi tiada apa yang mustahil dalam politik Malaysia, tunggu dan lihat,” katanya.

Sumber: Sinar Harian