Nasi Sudah Jadi Bubur – Chin Tong

MUAR: DAP Johor hari ini menegur Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkibol berhubung kenyataan sensitif dikeluarkan wakil rakyat dari parti itu terhadap insiden serangan pengganas di Christchurch, New Zealand, semalam.

Pengerusinya, Liew Chin Tong, berkata walaupun Chew Chong Sin menarik balik dan memohon maaf sebanyak tiga kali, kenyataan itu tetap memberi kesan yang serius.

“Nasi sudah menjadi bubur dan saya menegur sikap beliau yang tidak sensitif. Parti ini memandang serius insiden (serangan masjid di Christchurch) ini.

“Kami mengambil pendirian Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mewakili parti itu mengutuk setiap serangan terhadap masjid di Christchurch yang mengorbankan nyawa dan menyebabkan kecederaan kepada ramai pihak.

“Ia bukan hanya satu jenayah ke atas komuniti Muslim di Christchurch, tetapi satu jenayah kemanusiaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chin Tong berkata, apa yang berlaku di Christchurch adalah perbuatan pengganas dan DAP mengutuk perbuatan itu.

“Tiada agama yang membenarkan keganasan kepada orang yang tidak bersalah dan apa yang berlaku bertentangan dengan ajaran semua agama,” katanya.

Sumber: BH Online