Mustahil Kerja Pembangkang – Sumber

KUALA LUMPUR – Kemunculan beberapa video intim yang dirakam dan disebarkan kepada media dipercayai mungkin dilakukan ‘orang dalam’ yang rapat dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, sumber yang enggan dinamakan itu berkata, ia berdasarkan kepada rekod perjalanan dan tempat penginapan Timbalan Presiden PKR itu yang hanya boleh diketahui oleh pegawainya dan juga pegawai kementeriannya sendiri.

“Pegawai dia sendiri dan pegawai kementerian yang sediakan LO (waran perjalanan dan penginapan). Mereka sahaja yang buat pembayaran tiket kapal terbang dan penginapan.

“Cuma mereka yang tahu pergerakan keluar masuk Menteri dan rancang perjalanannya,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurut sumber itu lagi, hanya dua individu ini sahaja yang tahu dimana Azmin akan bermalam dan di mana program yang akan beliau hadiri pada satu-satu masa.

Menjelaskan perkara itu, individu yang pernah bekerja di bawah satu kementerian berkata, hanya individu yang rapat dengan menteri sahaja yang dapat akses untuk mengetahui segala pergerakan seorang menteri.

“SUSK (Setiausaha Sulit Kanan) hanya terima arahan daripada menteri untuk buat program. Jadi dia kena rancang dengan bahagian atau negeri untuk buat program, pegawai yang rancang menteri nak menginap di mana,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, tuduhan bahawa pembangkang mempunyai niat untuk menjatuhkan Azmin adalah tidak berasas sama sekali.

Kata sumber terbabit, mustahil untuk pihak pembangkang mengetahui segala gerak geri dan aktiviti mana-mana menteri Kabinet dan bertindak memerangkap mereka dengan video intim.

“Kalau nak tuduh pembangkang, mereka tidak tahu di mana menteri menginap, dengan siapa menteri jumpa, semua itu dirancang pegawainya sendiri dan pegawai kementerian.

“SUSK pun tidak tahu menteri nak menginap di mana. Sampai sana baru diberikan kunci bilik kepada beliau ataupun kepada pengawal keselamatan.

“Nak kata pembangkang yang rancang, mereka tidak tahu pergerakan dia, pukul berapa dia ada di sana,” jelas beliau.

Bagaimanapun, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan wujudnya konspirasi dalaman parti sebagaimana yang didakwa umum.

“Tidak ada pertelagahan (dalam parti) kerana sejak dari awal parti ini dan saya – juga rakan-rakan dalam PH – percaya kita memang menolak politik keji yang disebut gutter politics ini terhadap sesiapa saja,” katanya.

Dalam tempoh tiga hari, empat video intim dua lelaki sudah diedarkan menerusi kumpulan WhatsApp.

Terbaharu, klip video sepanjang kira-kira 90 saat yang dirakam dalam bilik sama dan memaparkan dua lelaki sama seperti dalam tiga video lebih awal dan ditularkan sejak petang Selasa.

Awal pagi kelmarin, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz membuat pengakuan bersumpah secara terbuka bahawa dirinya salah seorang lelaki di dalam video yang didakwa turut memaparkan lelaki mirip Azmin.

Bagaimanapun, beberapa jam kemudian, Azmin tampil menafikan beliau adalah individu di dalam video tersebut malah menyifatkannya sebagai fitnah dan komplot jahat untuk menghancurkan kerjaya politiknya.

Sumber: MalaysiaGazette