Mujahid Enggan Ulas Syarikat Judi Taja Lawatan Kerja Ketua Polis Negara Ke Turki

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam, enggan mengulas sebuah syarikat perjudian menaja lawatan kerja diketuai ketua polis negara ke Turki.

Beliau sebaliknya meminta wartawan mendapatkan komen daripada polis dan kementerian berkaitan berhubung lawatan itu.

“Itu saya tak tahu, kena tanya kementerian yang berkenaan dan polis,” katanya selepas perhimpunan bulanan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dilaporkan berkata, syarikat perjudian, Da Ma Cai menaja rombongan diketuai Mohamad Fuzi Harun ke Turki untuk mempelajari dasar perjudian dalam talian.

Lim berkata, kementeriannya tidak menanggung kos lawatan kerja itu, walaupun Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan ia ditaja Lembaga Totalisator Malaysia, sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Kewangan.

Tajaan itu dikritik pelbagai pihak, termasuk Ketua Wanita Umno, Datuk Noraini Ahmad yang menyifatkan ia mencalarkan imej pasukan keselamatan negara dan turut menyinggung perasaan umat Islam negara ini.

Sementara itu, Mujahid berkata, MAIWP akan menubuhkan sebuah universiti wakaf dengan mengambil kira Institut Profesional Baitulmal dan Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (Picoms) sedia ada.

“Kita nak pergi ke satu tahap tinggi seperti universiti wakaf, maka sudah tentulah kita kena kukuhkan dulu apa yang kita ada ini,” katanya sambil menambah universiti itu akan memberi fokus kepada golongan asnaf.

Sumber: FMT