Mohammad Fahmi Faizzudin Asyraf Sudah Tiada

Pelajar Terengganu, Mohammad Fahmi Faizzudin Asyraf Mohd Shukri yang kritikal di Hospital Safarat, Mesir sejak beberapa hari lalu, menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.00 petang tadi (8.00 malam waktu Malaysia).

Perkara itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat di Facebook, sebentar tadi.

“Dukacita dimaklumakan bahawa saudara Mohd Fahmi Faizuddin Asyraf Bin Mhd Shukri telah menghadap Ilahi pada jam 2.00 petang tadi, di Hospital Safarat, Hayyu Sabi’e, Kaherah, Mesir. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.

Terdahulu kisah pelajar tahun tiga Jurusan Syariah Islamiah di Universiti Al-Azhar yang berasal dari Kampung Bukit Perah, Ajil itu mula tular di media sosial kerana rayuan derma kilat apabila keluarganya memerlukan lebih RM40,000 untuk membiayai kos pembedahannya setelah dia tidak sedarkan diri dan terpaksa menjalani pembedahan berikutan mengalami pendarahan di kepala.

Kerajaan negeri juga bersetuju untuk membawa kedua-kedua ibu bapa arwah dengan meluluskan peruntukan kecemasan RM10,000 bagi kos penerbangan dan penginapan mereka di sana.