Menurut Kajian, Banyak Tidur Di Waktu Siang Petanda Awal Penyakit Nyanyuk

Tidur penting untuk memastikan tubuh dapat berfungsi dengan baik. Namun tidur yang berlebihan boleh menjadi petanda yang kurang baik bagi kesihatan fizikal dan mental.

Penyelidik mendapati tidur berlebihan di siang hari berpotensi menjadi petanda masalah ingatan pada masa akan datang.

Menurut kajian, individu yang berpotensi mendapat Alzheimer akan mengalami gangguan tidur pada waktu malam. Hal ini berlaku akibat pengecutan neuron pada bahagian otak yang membantu seseorang untuk mendapatkan tidur berkualiti.

Pengecutan neuron akibat Alzheimer menyebabkan individu tersebut tidak dapat tidur dengan baik pada waktu malam.

Justeru, tidur berlebihan pada waktu siang setelah kekurangan tidur malam menandakan kemungkinan masalah Alzheimer seseorang.

“Kajian kami membuktikan bahagian otak yang mempengaruhi daya kecergasan mengalami degenerasi akibat pengumpulan tau, protein yang menyumbang kepada degenerasi otak, menjadi petanda awal penyakit tersebut,” kata Profesor Madya Lea T. Grinberg, pakar neurologi dan patologi di UCSF Memory and Aging Center.

Dalam satu kajian berkenaan Alzheimer dan Dementia diterbitkan pada 12 Ogos baru-baru ini, penyelidik mengkaji kandungan protein tau dan bilangan neuron dalam tiga bahagian otak yang berperanan mengawal kecerdasan (wakefulness) iaitu locus coeruleus (LC), lateral hypothalamic area (LHA) dan tuberommamillary nucleus (TMN).

Kajian ke atas 13 orang pesakit Alzheimer yang telah meninggal dunia dan tujuh orang subjek yang sihat mendapati pesakit Alzheimer mempunyai pengumpulan tau dalam ketiga-tiga bahagian otak terlibat menyebabkan bahagian terlibat kehilangan sehingga 75 peratus neuron akibat degenerasi.

“Bukan satu nukleus yang mengalami degenerasi, tapi semua rangkaian yang mengawal kecergasan,” kata Oh.

Kajian itu turut mendapati penyakit Alzheimer bermula dengan perubahan mood, keresahan (anixety) dan depresi termasuk gangguan tidur.

Sementara itu, kajian oleh Kolej Perubatan Universiti Washington mendapati individu yang mengalami kualiti tidur yang rendah mengalami penurunan kesihatan otak.

20 tahun sebelum simptom kehilangan memori muncul, protein amyloid akan terkumpul di dalam otak. Rangkaian protein tau akan muncul kemudian, menyebabkan pengecutan di bahagian tertentu otak hingga menyebabkan penurunan kognitif.

Bagi memahami kaitan antara tidur dan Alzheimer, Lucey, David Holtzman, Andrew B, Gretchen P. Jones dan ketua jabatan Neurologi mengkaji 119 individu berusia 60 tahun ke atas yang mana 80 peratus daripadanya mempunyai fungsi kognitif pada tahap normal manakala selebihnya agak lemah.

Penyelidik memerhati waktu tidur subjek di rumah sepanjang minggu menggunakan alat EEG untuk mengukur gelombang otak ketika mereka tidur dan sensor pada pergelangan tangan untuk memantau pergerakan badan.

Mereka juga merekodkan sesi tidur pada waktu malam dan siang. Hasilnya, mereka mendapati kualiti tidur yang rendah berkait dengan tahap tau yang tinggi di dalam otak.

“Individu yang mempunyai peningkatan jumlah tau akan tidur lebih banyak pada waktu malam dan siang, tapi tidak mendapat tidur yang berkualiti,” kata Lucey.

Hal ini sekaligus mengaitkan masalah gangguan tidur dengan penyakit Alzheimer’s.

Sumber: Science Daily via Siakapkeli