Mengadu Sakit Perut Dan Sembelit, Remaja 18 Tahun Maut Selepas Bersalin Dalam Tandas

Remaja 18 tahun yang meninggal dunia dalam tandas rumahnya selepas melahirkan bayi lelaki, sebelum ini pernah mengadu mengalami sembelit dan sakit perut.

Mangsa mengadu kepada ibunya dan meminta kebenaran menggunakan tandas di bilik tidur utama pada pukul 8.30 pagi.

Bagaimanapun, selepas lebih kurang setengah jam, ibunya cuba memanggil anak kelima dari enam beradik itu selepas berada terlalu lama di dalamnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman, berkata,

“Kira-kira jam 10 pagi, ibunya sekali lagi memanggil remaja terbabit dan dia sekali lagi menjawab masih belum selesai menggunakan tandas terbabit.

“Ibu si mati dan anak bongsunya berulang kali bertanyakan keadaan remaja terbabit dan menerima jawapan sama daripada mangsa sehinggalah dia kemudian tidak memberikan sebarang reaksi kira-kira jam 2 petang.

“Berikutan itu, ibu mangsa kemudian bertindak memecahkan pintu tandas berkenaan dan mendapati mangsa tersandar di dinding dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dalam keadaan pucat lesi berlumuran darah selain mendapati terdapat objek serta darah di dalam mangkuk tandas.”

Ibu mangsa menghubungi 999 dan pasukan perubatan yang tiba di lokasi  kira-kira jam 2.45 petang kemudian mengesahkan mangsa dan bayi berkenaan sudah meninggal dunia.

“Jenazah kedua-duanya kemudian dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh (HRPB) untuk bedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.”

Menurut sumber lagi, remaja tersebut belum berkahwin dan dipercayai mengadung di luar pengetahuan keluarganya.

Mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Buntar, bersebelahan Masjid Daerah Kerian.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *