Media Digalak Hasilkan Lebih Banyak Laporan Berkaitan Perpaduan Kaum – Waytha Moorthy

Media digalakkan untuk menghasilkan lebih banyak laporan mengenai perpaduan dan kebudayaan yang diamalkan setiap kaum di negara ini dalam usaha memperkukuhkan semangat perpaduan kaum.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator P. Waytha Moorthy berkata justeru itu, media perlu memainkan peranan mereka dengan sewajarnya.

“Untuk menggalakkan media atau pemberita menghasilkan laporan berkaitan perpaduan dan kebudayaan dikalangan kaum ini, kita rancang untuk mengadakan Anugerah Media.

“Mungkin anugerah ini akan diadakan pertengahan tahun ini di peringkat kebangsaan untuk membolehkan lebih ramai media turut serta,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Ponggal di SMK Seremban Jaya di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional Negeri Sembilan Salasiah Hashim dan Anggota Dewan Undangan Negeri Rahang Mary Josephine.

Dalam pada itu, Waytha Moorthy berkata Pesta Ponggal yang disambut masyarakat India di negara ini menjadi antara platform terbaik untuk memperkukuh perpaduan di negara ini khususnya dalam kalangan pelajar.

“Sambutan di peringkat sekolah seperti ini sudah tentu akan melibatkan pelajar dari pelbagai kaum sekaligus dapat mendedahkan mereka mengenai budaya dan adat resam yang diamalkan setiap bangsa atau kaum di negara ini,” katanya.

Pada majlis itu, lima pertandingan dianjurkan iaitu pertandingan memasak ponggal, mengayam daun kelapa, melukis kolam, memecahkan belanga dan Kabadi.

Lebih 200 pelajar pelbagai kaum dari SMK Seremban Jaya menyertai pertandingan tersebut. – Bernama