MB Arah Kawasan Lombong Putra Perdana Ditutup Serta-merta

SHAH ALAM: Kerajaan negeri mengarahkan lombong di Taman Putra Perdana, Puchong, yang mengorbankan enam anggota bomba, malam tadi, ditutup serta merta.

Menteri Besar, Amirudin Shari, berkata penutupan itu akan dilakukan sebaik sahaja operasi mencari dan menyelamat Mohd Ilham Fahmi Mohd Azam, 17, ditamatkan.

Ketika ini, pasukan bomba masih menjalankan operasi mencari remaja terbabit.

Amirudin berkata, lombong itu adalah kawasan tadahan air tetapi orang awam menjadikannya sebagai tempat memancing.

“Ini bukan kejadian pertama (lemas) di lombong itu dan saya sudah mengarahkan Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) menutupnya sebaik SAR ditamatkan,” katanya ketika ditemui pemberita di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam di sini hari ini.

Beliau turut mengumumkan kerajaan Selangor akan menyumbangkan RM20,000 kepada keluarga setiap mangsa bagi menghargai jasa anggota bomba yang terkorban.

“Saya mewakili kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga anggota bomba yang maut dan berharap sumbangan ini dapat mengurangkan beban serta kesedihan mereka,” katanya.

Dalam kejadian malam tadi, enam anggota Bomba dan Penyelamat, iaitu empat anggota PPDA Pelabuhan Klang, Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim,32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24, manakala Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25, anggota PPDA Shah Alam lemas ketika operasi mencari dan menyelamat Mohd Ilham Fahmi yang hilang di lombong tinggal di Taman Putra Perdana, Puchong petang semalam.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *